Dr M Akui PM Tak Boleh Pegang Dua Portfolio


KUALA LUMPUR -Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam Kabinet berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau sedia menerima portfolio terbabit jika ada permintaan.

"(Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain) sudah termaktub dalam manifesto PH dan saya tidak boleh memungkiri (manifesto) itu buat masa ini.

"Sudah tentu jika ada permintaan, saya akan mengambil portfolio pendidikan," katanya pada sesi wawancara yang dimuatkan dalam Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam.

Ditanya sama ada portfolio itu diserahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Perdana Menteri berkata, itu tidak akan berlaku kerana Dr Wan Azizah sudah mempunyai kementeriannya sendiri.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah turut menerajui Kementerian Hal Ehwal Wanita Dan Kebajikan.

"Saya tidak menyerahkan (portfolio pendidikan) kepada timbalan saya kerana beliau sudah diberikan kementeriannya sendiri.

"Tiada halangan untuk Timbalan Perdana Menteri memegang lebih daripada satu portfolio, halangan itu hanya membabitkan Perdana Menteri," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, secara tradisi, orang nombor satu dan dua dalam pentadbiran kerajaan akan memegang lebih dari satu portfolio sama ada Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya berminat (pegang dua portfolio) kalau tidak kenapa saya memilih kementerian itu. Sebelum ini, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersilih ganti memegang Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

"Jika Perdana Menteri memegang (portfolio) Pertahanan, timbalannya akan memegang portfolio Dalam Negeri atau sebaliknya.

"Kini berbeza, (portfolio) Pertahanan dipegang Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) memegang portfolio Dalam Negeri," katanya.

Tindakan Dr Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan jelas bertentangan dengan manifesto PH yang menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.

Malah, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salehuddin Ayub, berkata kepemimpinan PH akan berbincang berhubung keputusan Dr Mahathir dalam tempoh terdekat.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com