Dr. Kamarul Zaman Letak Jawatan Pengarah Mapan UUM


Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kamarul ketika menjawab pertanyaan di Facebook tentang peletakan jawatan itu berkata: “Saya dianggap anti-Mahathir dan ini boleh menyusahkan UUM.”

Peletakan jawatan ini berkuatkuasa hari ini, iaitu hari pejabat Mapan dibuka selepas pilihan raya umum ke-14.

Kamarul dalam kenyataan berkata dia banyak menerima pertanyaan mengenai keadaannya ekoran tular cerita mengatakan dia termasuk dalam senarai yang dikatakan akan dikenakan tindakan kerana mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata terdapat “suara-suara di UUM sendiri yang mula lantang mempersoalkan kedudukan saya ekoran sikap kritikal saya tersebut.”

Kamarul menambah dia tidak bimbang dengan sebarang tindakan mungkin dikenakan ke atasnya.

“Tidak saya nafikan imej kritikal terhadap Dr Mahathir itulah, yang ditambah pula dengan pelbagai tulisan saya yang kritikal terhadap PH dalam Facebook saya, yang tertera dalam fikiran banyak pihak bila nama atau wajah saya timbul,” katanya yang dipetik daripada Suara TV.

Kamarul berkata dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pengarah Mapan berkuatkuasa esok bagi memudahkan urusan pihak yang berkaitan dengannya.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua warga UUM yang tidak selesa kerana beranggapan nama UUM dan nama mereka turut terjejas dengan tindakan saya yang kritikal terhadap Dr Mahathir dan PH.”

Kamarul juga menafikan dakwaan mengatakan dia selaku pengarah Mapan tidak pernah melakukan sebarang kaji selidik ke atas isu politik negara.

Beliau berkata dia mengetuai kaji selidik ke atas persepsi rakyat terhadap isu-isu nasional dan kejain itu mendapati kedudukan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional dalam bahaya jika langkah drastik mengatasi isu 1MDB tidak segera dilaksanakan.

“Bagaimanapun, selepas kaji selidik ini tidak dapat dikongsikan dengan masyarakat umum serta dapatannya pula tidak diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan, memang benar bahawa saya selepas itu tidak lagi meneruskan membuat kaji selidik begini,” katanya.

Kamarul juga menafikan dakwaan dia pencacai Najib dan Barisan Nasional, dengan melampirkan rencana yang mengandungi kritikan terhadap mereka. 

Sumber:  Fmt

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com