Diskaun, Rebat Tol Di 20 Lebuh Raya 9 Mei Ini


KUALA LUMPUR - Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menawarkan diskaun dan rebat tol bagi 20 lebuh raya sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PSKLM dalam kenyataannya menyebut, pengguna Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Cheras - Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (ECE 1) dan jambatan kedua Lebuhraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, akan menikmati diskaun 10 peratus pada 9 Mei, bermula jam 12 tengah malam hingga jam 11.59 malam hari sama.

Diskaun 10 peratus juga akan dinikmati kenderaan kelas satu di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (GRAND SEPADU).

Pengguna Lebuhraya SPRINT (SPRINT) pula mendapat potongan sebanyak 10 sen, pada hari dan waktu yang sama.

Sementara itu, pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK), Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Guthrie Corridor (GCE), akan mendapat diskaun 10 peratus bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, pada 9 Mei.

"Pengguna di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pula akan menikmati diskaun 100 peratus pada 9 Mei ini, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Selain itu, pengguna kenderaan kelas satu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan Lebuhraya PLUS, akan mendapat rebat sebanyak 20 peratus bagi pemegang kad PlusMiles dan Touch n' Go sepanjang dua hari bermula 8 Mei hingga 9 Mei.

Rebat boleh dilakukan bermula 15 Jun hingga 14 September.

Bagaimanapun, PSKLM berkata, tol bagi kawasan Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang adalah berkecuali.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com