DAP Peralat Dr Mahathir Untuk Tarik Undi Melayu - Tuan Ibrahim


KOTA BHARU – DAP sanggup mempergunakan sesiapa sahaja termasuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk mendapatkan undi orang Melayu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata pada pilihan raya umum lepas, calon DAP mendapat sokongan pengundi Melayu menerusi PAS yang ketika itu bersama-sama pakatan pembangkang.

“Sekarang DAP menggunakan Dr Mahathir yang diharap dapat melonjakkan undi Melayu kepada calon DAP (berikutan PAS tidak lagi bersama-sama pakatan pembangkang).

“Walaupun tahu sentimen pengundi Cina yang sangat anti Dr Mahathir suatu masa dahulu (semasa menjadi perdana menteri), namun DAP tetap gunakan cara itu demi menarik undi Melayu kepada DAP,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, semalam.

Tuan Ibrahim yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian berkata PAS tahu sikap DAP yang menentang Islam.

Beliau berkata sepanjang PAS menguasai Kelantan, parti itu tidak pernah bersikap sembrono malah tidak ekstrem terhadap kaum Cina, India dan kaum lain.

Mengulas perkara sama, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata punca utama PAS memutuskan hubungan dengan DAP ialah kerana parti itu campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

Takiyuddin, calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu berkata pada 2008, PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat ketika itu telah memeterai persefahaman antaranya tidak akan mencampuri urusan pihak lain tetapi DAP melanggar perjanjian tersebut dengan mencampuri urusan PAS.

Bercakap kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Songkran di sini, beliau berkata kini DAP memperalat Dr Mahathir untuk memecah-belah orang Melayu dan ia sesuatu yang tidak wajar.

“Ada kenyataan daripada pemimpin DAP sendiri tentang Dr Mahathir diperalatkan. Ini secara terus terang daripada pemimpin DAP sendiri,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com