DAP Panik Pengundi Tidak Kenal Logo PKR


KUALA LUMPUR - Tindakan DAP menggunakan lambang PKR untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, didakwa menyebabkan keadaan huru hara dalam kalangan penyokong tegar.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, mendakwa situasi terbabit berlaku kerana pengundi Cina tegar yang secara tradisi menyokong mereka tidak dapat mengenal pasti parti itu berdasarkan lambang PKR yang tidak mereka kenali.

"Taktik DAP menggunakan lambang PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, sekaligus meninggalkan simbol roket, sebenarnya mencetuskan rasa tidak percaya dan kejutan besar buat penyokong setia parti itu.

"Sukar untuk 'menjual' lambang PKR, apatah lagi dalam kalangan penyokong setia DAP. Keadaan semakin kritikal, apabila ramai dalam kalangan ahli parti berpandangan keputusan 'bersejarah' DAP itu, tidak seharusnya berlaku, apatah lagi dibuat tanpa perdebatan dan perundingan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Aziz mendakwa, pengundi tegar bukan saja berasa benci, malah terasa seolah-olah dipaksa untuk mengundi di bawah parti lain yang bukannya DAP.

"Situasi ini, membangkitkan perbezaan ideologi dan kecelaruan emosi dalam kalangan penyokong yang akhirnya memberi implikasi teruk terhadap parti terbabit.

"DAP berhadapan dengan prospek yang sangat mustahil dalam menjual idea bahawa undi untuk PKR adalah undi bagi DAP.

Lebih-lebih lagi, ia turut membabitkan perhubungan antara DAP dan PKR serta Tun Dr Mahathir Mohamad, yang digambarkan sebagai sangat akrab," katanya.

Abdul Aziz mendakwa, DAP yang sebelum ini tidak pernah berada dalam keadaan bingung, kini terpaksa mengakui mereka mendapati diri berada dalam dilema menjelang hari pengundian Rabu ini.

"Ramai dalam kalangan rakan dan kenalan saya di DAP, menganggap keputusan Lim Kit Siang meletakkan DAP berada di bawah sepanduk PKR, sebagai tindakan membunuh diri dalam politik.

"Malah ramai juga yang masih cuba menyusun teka-teki jigsaw politik ini," katanya

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com