Dakwaan Hutang Negara RM1 Triliun Tanpa Perincian Burukkan Ekonomi Malaysia



Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan kerajaan yang membesar-besarkan lonjakan hutang semasa Malaysia kepada paras RM1 trilion tanpa perincian hanya memburukkan keadaan negara.

Jelasnya, dakwaan hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 65 peratus adalah satu lonjakan yang cukup besar berbanding angka rasmi 50.9 peratus.

Dakwaan itu, katanya bakal memberi kesan kepada pasaran kewangan, menggegarkan agensi-agensi penarafan kredit dan keyakinan pelabur kepada institusi-institusi termasuk Bank Negara Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata, harus ada perbezaan yang jelas antara naratif dan fakta politik.

Apatah lagi, kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang dibuat ketika dalam pembangkang mempunyai beban yang berbeza berbanding sekarang ini memegang jawatan menteri kewangan atau perdana menteri.

Menurut Najib, tindakan mencampur-adukkan kedua-duanya hanya akan menimbulkan keraguan tentang kredibiliti profesionalisme institusi yang terlibat dalam penyediaan laporan yang ditadbir oleh undang-undang Malaysia dan piawaian antarabangsa.

Akibat daripada kenyataan-kenyataan yang membimbang dan mengelirukan itu, indeks Bursa Malaysia jatuh paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia, menyebabkan berpuluh-puluh bilion ringgit dalam nilai pasaran dilupuskan dalam tempoh satu hari.

Indeks Bursa Malaysia susut sehingga 40.78 mata semalam atau 2.21 peratus sementara indeks stok Indonesia menokok 0.71 peratus.

“The Edge Markets melaporkan kejatuhan mendadak dalam pasaran saham bursa tempatan ini disumbangkan oleh kebimbangan terhadap hutang awam negara,” katanya menerusi Facebook beliau semalam yang menandapat respons meluas..

Katannya, tindakan kerajaan itu pasti akan menjejaskan dana-dana seperti Kumpulan Wang Simpanan dan Permodalan Nasional Berhad, sekaligus menjejaskan bayaran dividen kepada ahli-ahlinya pada tahun ini.

“Samalah juga apabila mengeluarkan kenyataan bahawa kita tidak perlu bimbang tentang penarafan kredit negara diturunkan, pastinya akan menjejaskan keyakinan terhadap institusi kita.

“Penurunan nilai akan menyebabkan kos pembiayaan hutang yang lebih tinggi sebanyak RM10 bilion setahun, boleh mengakibatkan bank-bank yang telah meminjam dari pasaran antarabangsa mengalami kerugian.

“Ini juga boleh menyebabkan aliran keluar modal yang besar daripada pelabur asing dan ringgit lemah,” katanya.

Najib berkata, kerajaan mungkin mahu memfitnah dan menyalahkannya dengan memberikan persepsi tentang kedudukan kewangan yang mengerikan sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji-janji manifesto dengan mengurangkan perkhidmatan awam secara besar-besaran sedangkan negara dan rakyat haruslah menjadi keutamaan.

“Anda juga boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai 1MDB atau memberitahu separuh cerita mengenainya untuk menyalahkan saya tetapi masa untuk bermain politik sudah pun berakhir.

Sumber: MalaysiaGazette


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com