Daim Tidak Kenang Jasa UMNO


KLANG - Tindakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menghadiri program Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Mohamad Ali semalam disifatkan lebih kepada politik peribadi. 

Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang baharu apabila bekas-bekas pemimpin UMNO lupa akan perjuangan asal mereka sebelum ini. 

"Apa hendak dihairankan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang (penasihat DAP) pun sekarang cium mulut sedangkan dahulu Mahathir mengatakan Kit Siang macam-macam sebelum berpusing 360 darjah. 

"Apa lagi pasal Azmin dan Daim ini hanya sekadar perjuangan politik peribadi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kapar di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Daim membuat kejutan dengan menghadiri sebuah program Mohamed Azmin berkempen di Pelabuhan Klang yang merupakan kubu kuat bagi BN dan Pas.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan agar rakyat menilai sebaiknya tindakan bekas-bekas kumpulan warlord atau demang politik UMNO ini yang tidak mengenang jasa UMNO. 

"Dahulu, bekas-bekas pemimpin kita sering menyatakan bahawa setiap pemimpin akan datang dan pergi namun perjuangan mereka tidak lari. 

"Namun, situasi itu kini berubah dengan lebih mementingkan kepentingan peribadi semata-mata," katanya. 

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com