Daim Ingin Laksana GST Pada Zaman Tun M, Tapi Kerajaan Masa Tu Tak Berani


JELI - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) dirancang oleh Tun Daim Zainuddin ketika berkhidmat sebagai Menteri Kewangan, namun kerajaan ketika itu tiada keberanian untuk melaksanakannya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata bekas ketuanya itu terbabit dalam kajian mengenai pelaksanaan cukai itu kerana pendapatan negara yang kecil.

"Kerajaan ketika itu sudah membuat keputusan untuk laksanakan GST, cuma tidak ada keberanian dan hanya Datuk Seri Najib Razak yang berani.

"Kewujudan GST banyak manfaat kerana ia menjadikan sistem percukaian lebih telus dan adil, serta boleh mengesan syarikat besar yang tidak bayar cukai," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Pasar Tani Air Lanas, di sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, sistem percukaian GST juga lebih sistematik, malah kadar enam peratus yang dikenakan kerajaan adalah antara yang terendah berbanding negara lain.

"Pelaksanaan cukai ini memberi manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang.

"Tidak dinafikan wujud tekanan sepanjang tiga tahun ia dilaksanakan, tapi saya yakin rakyat akan terima GST ini kerana kerajaan perlu cari sumber kewangan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan itu berkata, bagi golongan isi rumah yang terkesan, kerajaan menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com