Daim Cadang Anwar Tidak Dilantik PM Segera


PETALING JAYA - Tun Daim Zainuddin berkata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak wajar dilantik serta-merta sebagai Perdana Menteri sebaik kembali ke Parlimen.

Ini kerana menurut Daim, tindakan untuk menukar perdana menteri sebegitu adalah sesuatu yang tidak bijak kerana sebarang peralihan kuasa sepatutnya berlaku pada pertengahan penggal.

Daim yang juga antara lima pakar dalam Majlis Penasihat Kerajaan berkata, beliau sebelum ini menemui Anwar dan memberitahunya "anda semua mencuba banyak kali dalam pilihan raya tetapi gagal. Sama ada suka atau tidak, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya (mengalahkan BN)."

"Jika anda mungkir janji kepada rakyat, mereka tidak akan percaya anda lagi," katanya dalam temu bual dengan akhbar Singapura, Straits Times.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berusia 70 tahun itu dihukum penjara lima tahun pada 2015 bagi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, yang didakwa penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bersetuju memberi pengampunan dan pembebasan serta-merta kepada Anwar yang bakal dimuktamadkan esok.

Dr Mahathir sebelum ini berjanji akan kekal sebagai perdana menteri selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Bagaimanapun isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Sementara itu, pada Ahad lalu, Anwar turut menyuarakan sokongan PKR kepada kepimpinan Dr Mahathir susulan bantahan terhadap pelantikan tiga menteri Kabinet oleh pengerusi Pakatan Harapan (PH) tanpa wakil parti berkenaan.

Anwar juga meminta kepimpinan PKR memastikan kekuatan Kerajaan Persekutuan pimpinan Dr Mahathir dan Azizah terus dipertahankan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com