“Dahlah Tak Mengundi, Bangga Pulak Tu” – Azrinaz


BEKAS pembaca berita TV3, Azrinaz Mazhar Hakim menyelar tindakan segelintir rakyat Malaysia yang memilih untuk berada di luar negara semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, ada juga yang dengan tanpa segan silu memuat naik gambar mereka di media sosial sewaktu orang lain keluar menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia.

Azrinaz, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya tempoh hari, meluahkan perkara itu melalui posting yang dimuat naik di laman Instagramnya, hari ini (Rabu).

“Meluat melihat segelintir rakyat Malaysia yang memilih keluar dari negara ini pada hari yang sangat penting. 

“Saya terkejut, mereka dengan bangganya memuat naik gambar-gambar yang menunjukkan mereka meluangkan masa tanpa rasa bersalah tidak mengundi,” katanya menerusi entri berkenaan.

Azrinaz meluahkan perkara itu bersama gambar dia bersama kedua ibu bapanya menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat kekal selepas mengundi.

Selain itu, Azrinaz turut meluahkan rasa kesalnya kepada golongan tersebut yang dilihat tidak peka untuk mengundi, malah lebih menyedihkan, ada di antara mereka yang tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Sungguh memalukan melihat nama anda ‘didaftarkan’ (masuk) hampir di setiap kelab malam.

“Memalukan anda boleh berada di London, NY (New York) atau (Las) Vegas menghadiri pertunjukan fesyen dan berpakaian cantik dari atas ke bawah tetapi anda gagal berusaha untuk mengundi.

“Ia menunjukkan betapa sifat tidak bertanggungjawabnya anda. Untuk itu, anda telah hilang rasa hormat saya,” katanya lagi.

Tambahnya, golongan itu sepatutnya berasa malu dengan ibu bapanya yang sudah berada di usia 70-an yang sanggup beratur di bawah panas matahari untuk mengundi.

“Apa alasan anda?” soal Azrinaz sambil memberitahu bahawa dia berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada PRU14.

Bagaimanapun, luahan bekas personaliti televisyen itu yang dikongsi secara umum tidak menyebut nama mana-mana individu tertentu.

Azrinaz baru sahaja berkahwin dengan Fairos Khan Abdul Hamid, seorang rakan yang telah dikenalinya sejak 20 tahun lalu dengan sekali lafaz pada 1 Mei lalu.

Mereka yang mengenal satu sama lain sewaktu bertugas di TV3 sebelum ini, mula menjalin hubungan cinta sejak setahun yang lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com