Cuti Paterniti Buat Pekerja Swasta Laksana Tugas Dengan Lebih Efektif, Tak Jejas Produktiviti


KUALA LUMPUR - Pemberian cuti paterniti sektor swasta bagi golongan lelaki yang sudah berkahwin tidak akan menjejaskan produktiviti golongan itu, sebaliknya akan membuatkan mereka kembali bekerja dengan lebih bersemangat dan efektif.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata hanya majikan yang tidak cekap akan menafikan hak asasi pekerja berkenaan, mendakwa mereka (majikan) tidak dapat menguruskan perniagaan atau mencari alasan produktiviti pekerja akan terjejas.

"Sudah tiba masanya untuk majikan benar-benar menjaga keperluan asas pekerja dan bukan sekadar menghayati ketamakan korporat. MTUC sebenarnya telah meminta cuti paterniti selama satu bulan pada awal tahun lalu dan kami gembira kerana beberapa majikan mengesyorkannya," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mengenai pengumuman (cuti paterniti untuk sektor swasta) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata ia akan diterima walaupun lebih bermakna jika cuti berkenaan diberi selama sebulan.

Bersempena Hari Pekerja tahun ini, perdana menteri pada Rabu mengumumkan kerajaan Barisan Nasional akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta bagi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja.

Pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakan inisiatif itu dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia Mohd Azrul Mohd Nor berkata untuk jangka masa panjang cuti paterniti mungkin dapat memberi kesan psikologi positif kepada suami untuk menjadi lebih efektif dalam pekerjaannya apabila turut dapat menguruskan keluarganya dengan baik.

Beliau berpendapat untuk memastikan kelancaran operasi syarikat, adalah lebih baik untuk suami yang bekerja memaklumkan pihak majikan lebih awal jika ingin memohon cuti paterniti dan menyelesaikan tugasnya sebelum bercuti.

"Sudah tentu secara tidak langsung memberi ruang kepada pekerja untuk lebih fokus pada kerja apabila kurang masalah dalam keluarga terutamanya melibatkan anak dan isteri. Ia juga akan menggalakkan majikan menjadi lebih prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Omar Mat Piah berkata cuti paterniti yang diperuntukkan kepada sektor swasta itu dapat membantu golongan suami yang bekerja memainkan peranan mereka sebagai ketua keluarga menyambut anggota keluarga baharu.

Katanya, pekerja di sektor swasta patut gembira dengan 'hadiah' yang diumumkan perdana menteri dan peruntukan cuti itu akan menjadikan majikan lebih prihatian terhadap kebajikan pekerja mereka.

"Jika kerajaan tidak beri cuti pun suami tetap perlu ambil cuti kerana ia keperluan bagi menguruskan keluarga, bawa isteri buat rawatan susulan, menguruskan pendaftaran kelahiran dan sebagainya.

"Lebih-lebih lagi apabila bayi mahupun isteri mereka mengalami komplikasi sewaktu kelahiran. Ia akan membuatkan suami yang bekerja hilang fokus pada pekerjaannya," katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia Azlina Othman pula berkataia merupakan satu inisiatif yang sangat relevan dan holistik dalam membentuk keluarga penyayang kerana suami dapat memberikan tumpuan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga.

Beliau turut berkata produktiviti pekerja sektor swasta tidak akan terjejas kerana ia bukansatu tempoh cuti yang panjang dan peruntukan itu ibarat satu penghargaan kepada pekerja serta membuatkan mereka lebih bersemangat untuk membina kehidupan yang lebih baik," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com