CUEPACS Harap Bonus Tak Kurang RM500


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap bayaran Aidilfitri kepada 1.6 juta kakitangan awam tidak kurang daripada RM500 berdasarkan jumlah yang diperoleh pada tahun lalu.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, permintaan itu setimpal dengan beban yang harus ditanggung rakyat lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang kebelakangan ini.

“Pemberian insentif hari raya yang diumumkan semalam membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban yang harus ditanggung rakyat menjelang musim perayaan.

“Namun, saya berharap demi kebaikan semua pihak jumlah yang diberikan tidak kurang daripada RM500 seperti yang diberikan kerajaan terdahulu secara sekali gus pada tahun lalu.

“Jumlah bayaran itu mampu meringankan beban penjawat awam khususnya mereka yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut hari raya,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan seramai 1.6 juta penjawat awam bakal menerima bonus sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, namun jumlah sebenar masih belum diketahui.

Tahun lalu, menerusi Bajet 2018, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bantuan khas RM250 pula diberikan kepada 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

Azih berkata, difahamkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) akan mula disalurkan kerajaan dalam masa terdekat dan berharap bantuan Aidilfitri akan menyusul selepas itu.

Sumber:MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com