Ceramah Syamsul Debat Suram Satu Fitnah, Audio Dikitar Semula


SEREMBAN - Penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau dikenali Syamsul Debat terkejut apabila mengetahui ada pihak menyalahgunakan rakaman audionya dipercayai bertujuan memfitnahnya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu berkata, rakaman audio terbabit dimuat ke dalam video berdurasi 45 saat yang menunjukkan suasana suram di sebuah program BN.

Bagaimanapun, katanya, audio berkenaan sebenarnya rakaman ucapan ketika Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2016.

"Saya terkejut juga sebab bila masa saya ceramah tiada orang. Jika dengar rakaman itu betul-betul, ia ucapan saya ketika Perhimpunan Agung UMNO, dua tahun lalu.

"Sebelum ini, saya dimaklumkan mereka sudah guna video sama untuk orang lain, kali ini mereka letak suara saya pula. Dalam video itu tiada orang tapi ada bunyi orang tepuk tangan dan bersorak," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai video bertajuk 'ceramah kosong Syamsul Debat' yang tular di Facebook sejak semalam, ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Surau Taman Sri Penaga, Sikamat, di sini, semalam.

Turut hadir calon BN Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon dan calon DUN Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Sementara itu, Sin Woon berkata, calon perlu membincangkan mengenai manifesto masing-masing sekiranya dipilih oleh rakyat dan bukan berkempen menjatuhkan pihak lawan.

"Kita lihat sekarang ini kempen politik sudah lari daripada budaya kita. Bergaduh, menjatuhkan poster dan papan tanda adalah cara tidak sihat. Kempen sepatutnya fokus kepada manifesto untuk rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Surau Taman Sri Penaga yang berkeluasan 1,600 meter persegi bakal dibina dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan membabitkan kos RM300,000.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com