Ceramah Politik Di Media Sosial Lebih Efektif Tarik Minat Pengundi Baharu


KUALA TERENGGANU - Tidak dapat dinafikan penggunaan media sosial lebih mempengaruhi masyarakat, terutamanya golongan muda, termasuk ketika musim kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Jika dahulu maklumat dan kempen terpaksa disampaikan melalui ceramah politik, bagi PRU14 kali ini, suasana nyata berbeza.

Di Terengganu, misalnya, kekuatan platform media sosial lebih mengatasi pentas-pentas ceramah yang dilihat lebih suram sambutannya, berbanding PRU sebelum ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ceramah-ceramah yang diadakan agak kurang mendapat sambutan melainkan ia membabitkan tokoh-tokoh besar dan ternama.

Kuasa media sosial seperti Facebook dan WhatsApp selain YouTube lebih berpengaruh terutamanya dalam kalangan golongan muda.

"Zaman sekarang ini, kalau nak ikutkan, bukan tidak suka pergi dengar ceramah, tapi kalau di media sosial - seperti Facebook dan WhatsApp - lebih pantas maklumat yang kita dapat.

"Kalau kita tengok, dah jarang ada ceramah politik macam dulu. Sekarang ni media sosial lebih pantas dari ceramah dan lebih menyeluruh," kata Zaki Mamat yang merupakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Menerusi tinjauan kru Astro AWANI di beberapa kawasan  sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Hulu Terengganu, boleh dikatakan kebanyakan golongan muda dan pengundi baharu lebih cenderung menggunakan pendekatan media sosial berbanding hadir ke ceramah.

"Bagi golongan muda, Facebook dan WhatsApp adalah cara paling pantas kami untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Pada masa sama, golongan tua juga ada yang telah mula menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat.

"Sebagai contoh, kami malah ada WhatsApp group untuk berkongsi maklumat tentang kempen pilihan raya," kata Amri Hamid, pengundi di kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Rata-rata mereka berpendapat, cara itu lebih realistik, mudah dan pantas berbanding tradisi mengadakan ceramah.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com