Calon PPBM Mengaku Muflis Kerana Hutang Kad Kredit, Tapi Tetap Salahkan SPR


KEPALA BATAS – Pinjaman kad kredit yang dibuat 20 tahun lepas menjadi punca Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Nibong Tebal, Yaakob Osman diisytihar muflis dan tidak dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14( PRU14).

Menjelaskan perkara itu, Yaakob mengakui kesilapan dan kecuaiannya, seterusnya membuat permohonan maaf di hadapan kira-kira 200 penyokong parti Pakatan Harapan (PH) dalam ceramah anjuran PKR di Pinang Tunggal, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

“Ia suatu pinjaman yang berasal daripada kad kredit 20 tahun lalu.

“Saya mohon maaf kepada orang Penaga, Pakatan Harapan akibat kecuaian saya ini kita tak ada calon di Penaga,” kata Yaakob.

Yaakob berkata beliau amat terkejut dan mendakwa tidak mengetahui bahawa tindakan muflis telah dikenakan terhadapnya sehinggalah diberitahu pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari penamaan calon 28 April lepas.

“Semua notis saman dihantar ke tempat kerja saya 20 tahun dulu, alamat lama saya dulu, jadi saya tidak tahu yang tindakan kebankrapan sedang diambil terhadap saya,” kata Yaakob.

Katanya, beliau hairan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku sedangkan semakan yang dibuat pihaknya sehari sebelum penamaan calon tidak menunjukkan beliau mempunyai masalah mahupun muflis.

Beliau yang juga Ketua Informasi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri berkata beliau kesal dengan tindakan SPR yang hanya memaklumkan mengenai perkara itu pada jam 10.30 pagi menyebabkan pihaknya tidak dapat menukarkan calon gantian yang disediakan parti.

Yaakob sebelum itu mengemukakan borang pencalonan atas tiket PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga namun ditolak SPR selepas semakan mendapati dirinya muflis.

Dalam ceramahnya itu, Yaakob mendakwa apa yang berlaku kepadanya adalah satu penganiayaan kepada pengundi khususnya penduduk di Penaga yang dinafikan hak untuk membuat pilihan.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Yaakob berkata beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Shah Alam bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan memfailkan petisyen terhadap keputusan SPR itu sedikit masa nanti.

Pada 28 April lepas, SPR menolak borang pencalonan Yaakob selepas semakan mendapati dirinya muflis sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat bertanding di Penaga atas tiket PKR.

Kegagalan mengemukakan borang penamaan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Ahmad dengan calon Pas, Yusni Mat Piah untuk kerusi berkenaan. 

Sumber – Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com