Calon DUN Tokai Yakin Ada Hadiah Istimewa Jika BN Menang


PENDANG - "Jika saya menang, saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan berikan 'hadiah' yang istimewa untuk pengundi di DUN Tokai," kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai, Ahmad Fatahi Omar.

Ahmad Fatahi yang ditemui pemberita di sini berkata, dengan mengambil alih DUN Tokai, banyak perubahan dan pembaharuan akan dapat dilaksanakan setelah sekian lama di bawah wakil rakyat pembangkang PAS.

"Ini komitmen saya dan bukan janji kosong, setelah diumumkan menang nanti, perkara pertama yang akan saya buat ialah menemui Perdana Menteri dengan menghadiahkan kemenangan ini kepada beliau, sudah tentu beliau juga akan hadiahkan sesuatu yang istimewa untuk dibawa pulang kepada DUN Tokai.

"...itu pasti kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak melupakan mereka yang membantu dan menyokong BN untuk kemenangan," katanya kepada pemberita pada Program Santai Bersama Pemimpin dan Anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) daerah Pendang di Bukit Kobah, di sini, semalam.

Katanya, sudah tiba masanya pengundi di DUN Tokai memberi keyakinan dan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tugas menaik taraf infratsruktur dan kemudahan asas, perumahan, ekonomi dan jalan perhubungan yang lama tertinggal di kawasan itu.

Sementara itu, Ahmad Fatahi berkata, sepanjang lima hari berkempen, penerimaan masyarakat di DUN Tokai amat baik dan memberi suntikan semangat untuk terus bertemu pengundi dan menyatakan hasrat yang dibawa BN untuk kemajuan DUN Tokai.

"Bukan sahaja orang Melayu yang menjadi majoriti pengundi di sini, tetapi masyarakat Cina juga membuka banyak ruang untuk bertemu mereka dan memberi isyarat memberangsangkan penerimaan kaum itu kepada BN," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fatahi juga mengingatkan agar pengundi di DUN Tokai tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan yang memburukkan kerajaan, sedangkan kerajaan yang ada pada masa ini sangat bertanggungjawab.

"Saya juga anak jati Tokai dan daripada keluarga pesawah dan saya tahu banyak perkara di dalam kawasan ini untuk diberi nafas baharu, percayalah saya akan laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna untuk rakyat," katanya.

DUN Tokai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Fatahi (BN) dengan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS) dan Mohd Firdaus Jaafar (PKR-Amanah) pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14), pada 9 Mei ini.

Pada PRU13, calon BN, Najmuddin Darus tewas kepada calon PAS Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dengan majoriti 5,833 undi. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com