Calon BN Kedah Diminta Jumpa Semua Pengundi


ALOR SETAR - Semua calon Barisan Nasional (BN) diminta memperkenalkan diri kepada seramai mungkin pengundi di kawasan yang mereka tandingi di samping membuat komitmen kepada rakyat tentang janji yang hendak dilaksanakan seperti mana yang terkandung dalam manifesto parti.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Bashah berkata, perkara itu penting bagi menambahkan keyakinan pengundi tentang kemampuan kerajaan BN.

"Saya mahu mereka (calon) dan seluruh anggota jentera parti mengadakan perjumpaan dengan setiap pengundi  ataupun bertemu dalam bentuk kumpulan kecil di samping berkunjung dari rumah ke rumah, " kata Ahmad Bashah.

Beliau berkata kini tiada masalah lagi yang berbangkit berhubung pencalonan dan jika ada pun rasa tidak puas hati ia berjaya diselesaikan dengan baik kerana semua pihak mahukan kemenangan parti.

Oleh itu tumpuan sekarang ialah memantapkan jentera parti dan setiap calon perlu bertemu dengan pengundi, kata Ahmad Bashah kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli Persatuan Penyokong Pendidikan Bahasa Cina di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa di Alor Setar. 

BN Kedah telah menggugurkan dua bekas Ahli Dewan Negeri dan seorang bekas anggota Parlimen dengan mencalonkan beberapa muka baharu termasuk pemuda dan menambah dua calon wanita untuk bertanding. 

Ahmad Bashah berkata tumpuan sekarang bukan lagi masalah pencalonan tetapi memberi fokus kepada gerak kerja untuk mencapai kemenangan terutama di kawasan yang mengalami kekalahan semasa PRU 13.

Beliau turut memberitahu bahawa persatuan Cina di Alor Setar telah memberikan komintmen untuk memberi sokongan dalam memastikan BN mencapai kemenangan di kawasan bandar termasuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. - Kedahnews.com

#Bersama BN
#HebatkanNegaraku

 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com