Calon BN DUN Kota Siputeh Sudah 5 Tahun 'Diasuh'


ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Ahmad Azhar Abdullah mempamerkan keyakinan tidak kekok untuk memberi khidmat di kawasan itu sekiranya rakyat memberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau mengakui telah lama mengikuti dan 'diasuh' sejak lima tahun lalu oleh penyandang kerusi terbabit, Datuk Abu Hasan Sarif.

Ahmad Azhar berkata semasa beliau dilantik sebagai pegawai khas penyandang DUN Kota Siputeh, penyandang kerusi tidak lokek memberi 'latihan' berkaitan aspek penggunaan peruntukan dan kaedah mendekati serta menyelesaikan masalah pengundi di situ.

Bagi Ahmad Azhar yang juga merupakan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, tiada sebarang masalah baginya untuk meneruskan legasi kepimpinan Abu Hasan yang berkhidmat di kawasan itu sejak lima penggal lalu.

"Sejak berkhidmat sebagai pegawai khas Tok Abu (Abu Hasan), beliau banyak menyerahkan tugas pentadbiran DUN Kota Siputeh kepada saya membabitkan peruntukan dan perhubungan dengan masyarakat sebab nak latih saya.

"Pengundi di DUN Kota Siputeh memang sudah kenal saya, jadi tidak janggal untuk saya menjaga kawasan itu jika pengundi memberi kepercayaan buat saya meneruskan legasi Tok Abu di sini.

"Kalau Tok Abu sebelum ini berikan 100 peratus komitmen di DUN Kota Siputeh, saya pula harus beri 150 peratus kerana cabaran saya sangat besar untuk pastikan kawasan ini terus dipertahankan BN, " katanya memetik Berita Harian.

DUN Kota Siputeh bakal menyaksikan saingan tiga penjuru daripada calon PAS, Mat Rejab Md Akhir dan Dr Salmee Said (PKR) dan kawasan itu boleh dilabelkan sebagai kubu kuat UMNO.

Ahmad Azhar yang aktif dalam politik sejak 1998 melancarkan kempen di laman sosial untuk mendekati golongan muda.

"Sebab kita ini memang orang tempatan jadi memang tidak kalutlah kalau nak suruh mendekati golongan lama di sini sebab memang saya sudah mengenali mereka," katanya. - Kedahnews.com


#JomBN #BersamaBN #DahulukanRakyat #HebatkanNegaraku #PRU14 #TsunamiPHFitnah #GE14 #UndiBN #BR1M #ManifestoBN #HarapanPalsu #HarapanBohong #TolakDAP #PakatanDAP #SinsofMahathir #DosaDosaMahathir

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com