Bulan Puasa Beri Cabaran, ‘Sangkar’ Buat Zul Tak Berbaju


KREDIBILITI yang dimiliki oleh pelakon bertubuh sasa Zul Ariffin membuatkannya ditawarkan berlakon dalam sebuah filem yang memerlukan dia sekali lagi tampil tanpa baju.

Kini Zul sedang menjalani penggambaran bagi filem baharunya berjudul Sangkar dan ia memerlukan pelakon berusia 31 tahun itu mengulangi semula wataknya seperti dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba.

“Ia sebuah filem aksi dan saya banyak terlibat dalam babak-babak pertarungan dan kebanyakan pelakon lain dalam filem itu juga tidak berbaju.

“Bukan sahaja tidak berbaju, saya juga perlu menyimpan misai dan jambang bagi menghidupkan watak tersebut walaupun sebenarnya saya sudah rimas,” katanya ketika ditemui oleh pihak mStar Online pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) pada Ahad lalu.

Filem Sangkar yang merupakan dibawah arahan Khabir Bhatia itu masih lagi di dalam proses penggambaran dan dijangka akan selesai pada akhir bulan Ramadan ini.

Sebagai seorang pelakon yang gemarkan genre aksi, Zul berasa sangat berpuas hati kerana dapat terlibat dalam pembikinan filem itu.

“Jika kita lihat situasi industri filem sekarang sudah banyak syarikat produksi menghasilkan filem aksi dan genre romantik sudah agak kurang.

“Ia perkembangan yang baik untuk industri dan dapat beri peluang kepada pelakon seperti saya kerana genre aksi sebelum ini jarang ada,” ujarnya lagi.


Tambah pelakon kelahiran Taiping, Perak itu lagi, cabaran menyiapkan filem itu bakal bertambah lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan ini.

Tetapi ia merupakan satu peluang besar buat Zul untuk mencabar dirinya melakukan kelainan.

Malah, Zul turut membuat persediaan awal dengan mengunjungi pusat kecergasan dengan lebih kerap bagi memastikan stamina dan bentuk tubuhnya akan sentiasa berada dalam keadaan baik untuk filem itu.

“Bab pertarungan saya tidak gusar sangat kerana selain ada pelatih saya juga Alhamdulillah ada sedikit ilmu yang saya belajar dan boleh disalurkan ke filem ini,” jelasnya.

Selain Zul, antara pelakon lain yang turut membarisi filem berkenaan ialah Mira Filzah, Fadlan Hazim, adik Nik Adam Mika dan ramai lagi.

Ahad lalu, Zul telah berjaya dipilih sebagai pemenang bagi kategori Aktor Pilihan menerusi drama rantaian popular, Titian Cinta. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com