Bukan Nak Menunjuk, Brian Ada Sebab Untuk Puasa


BULAN Ramadan bukan sahaja dinantikan oleh umat Islam, tetapi oleh pengacara dan chef selebriti, Brian Chen yang berbangsa Cina.

Ramai yang ternyata terkejut apabila mengetahui bahawa ini merupakan tahun keempat Brian berpuasa, sehingga ada netizen yang mempertikaikan niatnya itu.

Bagaimanapun, Brian menganggap niatnya berpuasa hanyalah untuk berkongsi pengalaman serta berkongsi beberapa tips yang bermanfaat kepada orang ramai.

“Saya pernah tanya ustaz, apabila kita lakukan kebaikan dengan niat yang betul pahala tu dikutip macam dalam akaun bank.

“Bila dah terima hidayah dan diterima agama, jumlah akaun bank tu akan ditukar sekali kata ustaz Hamizul,” tulisnya di salah satu posting di akaun Instagram miliknya.

Sebab utama mengapa Brian berkongsi kata-kata daripada Ustaz Hamizul adalah selepas dia menerima banyak persoalan daripada netizen yang menjatuhkan hukum sesuka hati terhadap perbuatan murninya itu.

Malah, bekas peserta Masterchef itu turut memuat naik beberapa paparan skrin netizen yang menuduh dia berpuasa hanya bertujuan untuk mencari publisiti sahaja.

Mujur dia bukanlah seorang yang cepat melatah selepas menerima banyak persoalan itu sebaliknya hanya membalas dengan kata-kata yang elok serta memohon maaf seandainya ada kata-katanya yang telah mengguris hati mana-mana pihak.

Dalam yang mengeji, mujur ada lagi yang memuji niat baik Brian itu dan menganggap dia sebagai salah satu contoh yang baik kepada umat Islam.

Selain itu, Brian turut menerima banyak kata-kata semangat daripada netizen yang sentiasa menyokong dan meminta dia untuk berkongsi beberapa resepi untuk berbuka dan bersahur.

Dalam masa yang sama, sebelum ini, Brian ada memberi kenyataan bahawa dia tidak mahu menjawab apa-apa apabila diajukan soalan  tentang keterbukaan hatinya untuk menerima ajaran agama Islam.

Kerana baginya, hidayah itu hanyalah milik Allah sahaja. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com