Bos AirAsia Puji PM, Lancar Pesawat Ada Logo BN


UNIK… Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakhiri lawatan dua hari sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Sabah hari ini, pulang ke ibu negara dengan menaiki pesawat AirAsia.

Namun kapal terbang dinaiki berkenaan jelas merupakan edisi khas yang tertera tema manifesto Barisan Nasional (BN) sebelum beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang semalam.

Tema ‘Hebatkan Negaraku’ itu terpampang di badan pesawat jenis Airbus A330-300 milik AirAsia. Najib tiba di KKIA sebaik selesai program di Kota Marudu jam 4 petang sebelum berlepas ke ibu negara 45 minit kemudian.

Beliau yang merupakan Pengerusi BN turut diiringi dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Bos besar syarikat penerbangan tambang rendah itu hari ini juga berkongsi rahsia kejayaan AirAsia sehingga ke peringkat antarabangsa dengan hasil bantuan daripada Najib yang disifatkan pemimpin lebih mendahului negara.


Tony berkata laluan kejayaan AirAsia penuh berliku pada peringkat awal dengan hanya memiliki dua buah pesawat kemudian kini berkembang megah kepada 230 buah pesawat yang mengangkut 89 juta penumpang setiap tahun.

“Seperti yang anda semua maklum, kisah saya membawa nama AirAsia berdepan pelbagai liku dan saya rasa ia sangat penting untuk dikongsikan bersama. Saya bermula dengan hanya menggunakan dua buah pesawat kecil.

“Walaupun berdepan cabaran sepanjang 10 tahun ini kami menyaksikan bagaimana kerajaan bantu dengan sedia peluang untuk AirAsia bina nama sehingga ia kini antara jenama terbesar di dunia,” katanya dalam klip video.

Tony berkata bukan perkara mudah untuk bawa jenama tempatan ke peringkat global, tetapi ia direalisasikan dengan bantuan kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri yang disifatkan sentiasa letak negara sebagai keutamaan.

Katanya, AirAsia memenangi pelbagai anugerah peringkat dunia dan beliau berterima kasih kepada kerajaan yang mampu menguruskan negara termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat seperti AirAsia dengan baik.

“Saya percaya Perdana Menteri mendahulukan rakyat dan membenarkan AirAsia berkembang walaupun beliau mendapat tentangan di merata tempat. Keputusannya mengutamakan negara memberi manfaat kepada kita semua.

“Justeru apabila mengundi nanti buatlah keputusan dengan berdasarkan fakta dan bukan berita palsu yang anda selalu dengar menerusi media massa,” kata Tony sebagai merujuk hari pengundian PRU ke-14 pada Rabu ini.

Beliau seterusnya berharap pada masa depan lebih banyak syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia akan wujud sekali gus menyediakan lebih peluang pekerjaan berdasarkan meritokrasi kepada rakyat negara ini.

“Itulah Malaysia yang saya impikan selama ini, jadi undilah dengan bijak dan kita berjumpa lagi pada 10 Mei di AirAsia,” kata Tony. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com