“Bonda Masih Marah Dengan Abang” – Nik Abduh


KOTA BHARU – “Bonda masih marah dengan abang (Nik Omar Nik Aziz),” kata Nik Abduh mengenai hubungan ibunya dengan Nik Omar selepas abangnya menyertai pakatan pembangkang.

Nik Abduh berkata, sejak penamaan calon pada 28 April lalu. dia dan keluarga tidak pernah bertemu dan berhubung dengan Nik Omar.

 “Sejak penamaan calon saya difahamkan dia berada di markas pakatan pembangkang. Kami tidak pernah bertemu dan berhubung.

“Bonda sendiri (Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak) masih marah dengannya kerana menyertai pakatan pembangkang tanpa memaklumkan keluarga. Bonda sendiri sudah beberapa kali menolak permintaan Nik Omar dan melarang keras dia sertai pembangkang.

“Nik Omar seorang anak yang taat dan ini adalah kali pertama tindakan di luar jangkaannya dengan menyertai parti lain,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di SMK Raja Sakti di sini hari ini.

Ditanya mengenai hubungan keluarga selepas Pilihan Raya Umum ini, calon PAS Parlimen Bachok itu berkata, ia terserah kepada Nik Omar.

“Tindakan Nik Omar ini sudah melanggar adab paling besar dalam agama iaitu perlu patuh kepada ibu kerana redanya amat penting. Nik Omar nak dapatkan reda masyarakat dan dia dapat tapi apa guna tanpa reda ibu.

“Pada pandangan saya, dia perlu jumpa bonda minta maaf kerana bonda amat marah kerana tinggalkan perjuangan arwah ayah,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan Nik Omar bertanding di DUN Chempaka itu kerana beliau dicalon di Parlimen Bachok, Nik Abduh menolak alasan itu.

“Saya rasa tak, kerana itu adalah keputusan terbaik parti. Biarpun berdepan saingan sengit, saya rasa lebih bersemangat,” katanya.

Sementara itu Tuan Sabariah yang ditemui di pusat pembuangan undi sama, enggan memberi sebarang komen. – BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com