Bon 1MDB Terjejas Selepas PRU-14,


KUALA LUMPUR - Bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menerima tekanan pada minggu ini selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini berikutan kegusaran pelabur mengenai masa depan dana pelaburan milik kerajaan itu.

Kemarahan awam susulan dakwaan skandal pengubahan wang haram membabitkan 1MDB menyaksikan kekalahan parti Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bahawa beliau mungkin boleh mendapatkan semula dana daripada 1MDB dan menyatakan Najib akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

Walaupun bon berasaskan dolar Amerika Syarikat (AS) dana berkenaan yang tamat pada 2023 meningkat 2.3 cents pada Jumaat kepada 84.1 cents, ia masih berada pada paras menyusut minggu ini selepas menurun 11.7 cents pada Khamis berikutan PRU-14, penurunan terbesar sejak 2016.

1MDB mengumumkan rancangan untuk memecahkan asetnya dan menutup operasi pada 2015, namun kemenangan Mahathir meningkatkan spekulasi mengenai langkah menamatkan operasi 1MDB.

Ketua Bersama Asian Bank Research di CreditSights, Ismael Pili, berkata, sekiranya Najib kekal berkuasa, operasi 1MDB mungkin akan diteruskan.

"Maklumat mengenai siasatan 1MDB dijangka akan didedahkan lebih terperinci dengan pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri," katanya.

Pada musim berkempen, Mahathir mendakwa Najib sebagai 'pencuri', namun selepas memenangi PRU-14, beliau menyatakan tidak akan membalas dendam, sebaliknya akan mengembalikan kedaulatan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen selepas PRU-14 berhubung dakwaan salah laku.

Kerajaan Malaysia menyediakan surat sokongan untuk bon 2023 1MDB, namun tidak memberi jaminan terhadap hutang berkenaan, dan menambah ketidakpastian di tengah-tengah perubahan pemimpin negara.

Menurut CLSA Securities dalam satu nota pada hari ini, penentuan kredit seperti 1MDB akan menjadi lebih jelas dalam beberapa minggu atau bulan akan datang. - Bloomberg

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com