BN Yakin Rampas Semula Kelantan


KENDERAAN sukan pelbagai guna (SUV) putih Datuk Seri Mustapa Mohamed kelihatan tidak ubah seperti rumah kedua dengan pakaian, beg, akhbar dan beberapa fail tebal memenuhi sebahagian besar ruang.

Sepanjang kesibukan meninjau segenap pelosok Kelantan bagi kempen pilihan raya, Tok Pa tidak pernah lekang daripada telefon bimbitnya bagi memantau perkembangan pada peringkat akar umbi.

Ketika bergerak dari Tumpat ke Tanah Merah, beliau keluar dari SUV dan menaiki kereta biasa untuk perjalanan 10 minit sebelum kembali ke kenderaannya.

Tok Pa adalah ahli politik yang tidak suka membuang masa. Tidurnya hanya empat jam sehari. Beliau bangun pada jam 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan berjoging selama 45 minit.

Tenaga dan kecergasannya jauh mengalahkan mereka yang lebih muda. Malah, pegawainya turut terkejar-kejar untuk menyaingi langkah deras menteri mereka.

Barisan Nasional (BN) kini meletak harapan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu untuk menawan semula Kelantan yang diperintah PAS sejak 1990.

Dalam perjumpaannya bersama jentera dan ahli parti, pemimpin berusia 68 tahun itu kerap mengulangi pesanannya: ini masa terbaik untuk Kelantan kembali ke tangan BN.

Keadaan semasa dilaporkan agak memberangsangkan untuk BN kembali selepas 28 tahun - lebih lama daripada pembabitan Tok Pa dalam politik yang bermula pada 1995.

Bergelut, perpecahan

Kali terakhir BN hampir merampas negeri itu ialah pada 2004 apabila hanya kekurangan tiga kerusi untuk memerintah.

Kali ini, PAS bergelut dengan perpecahan susulan pembentukan parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN).

Secara dasarnya, undi Melayu berpecah kepada tiga. PAS di Kelantan dicabar oleh BN/UMNO, PAN, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

PAN bertanding di 28 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, sekali gus menafikan peluang PAS atau BN mendapat kemenangan mudah. Selebihnya adalah pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dan sama ada PKR atau PPBM.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jentera BN perlu bekerja keras dan memastikan bukan sahaja Kelantan kembali dirampas tetapi juga lebih banyak kerusi Parlimen.

"Kita tahu ini adalah masa terbaik untuk kita mendapatkan kembali sokongan rakyat memandangkan parti sebelah sana sedang kuca bojeng (kelam-kabut).

"Kita bukan hanya mahukan lima kerusi Parlimen Kelantan. Saya amat yakin dengan Tok Pa. Insya-Allah, beliau akan menerajui kerajaan baharu di Kelantan."

Selepas sembilan hari berkempen dan di sebalik beberapa isu di peringkat akar umbi, jentera kem BN optimis untuk meraih pencapaian jauh lebih baik berbanding 2013.

Bagaimanapun, penganalisis berkata BN mungkin tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

BN memerlukan majoriti mudah 23 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri. Namun demikian, perkiraan terkini menunjukkan ia berpeluang memenangi antara 19 hingga 21 kerusi.

Bagi kawasan Parlimen, BN meletak sasaran memenangi tujuh atau lapan daripada 14 kerusi iaitu Jeli, Gua Musang, Machang, Ketereh, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Tok Pa yakin dapat mengekalkan kerusi Jeli, manakala BN berkemungkinan besar mengekalkan Gua Musang, Ketereh, Machang dan Tanah Merah.

Datuk Dr Awang Adek Hussin, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara dan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, sekali lagi mencuba di Bachok. Beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum 2013 tetapi tewas kepada PAS dengan 201 undi.

Pengundi memihak BN

Dalam ucapannya di hadapan veteran UMNO di Bachok minggu lalu, Awang Adek memaklumkan kajian Merdeka Centre yang mendapati 55 peratus daripada pengundi di Kelantan memilih BN, berbanding 35 peratus yang menyebelahi PAS dan hanya 10 peratus berpihak kepada PAN serta PKR.

Keyakinan UMNO di Kelantan adalah berdasarkan hakikat ia mampu mendapat kembali kira-kira 15 kerusi DUN yang terlepas dengan majoriti tipis pada 2013, selain pelbagai projek besar bakal dibawa ke Kelantan walaupun berada dalam pimpinan PAS.

Ini termasuk Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Tumpat ke Kuala Lumpur menerusi Terengganu dan Pahang.

Tok Pa berkata, kempen pilihan raya kali ini agak luar biasa kerana buat kali pertama BN dan PAS tidak saling menyerang, sebaliknya PAN yang banyak membuatkan PAS 'sibuk'.

Apakah dua pertimbangan yang mewarnai PRU-14 di Kelantan?

Pertama, 'putera mahkota' terbaru PAN, Nik Omar Nik Aziz, yang mencetuskan gelora dalam dunia PAS selepas meminggirkan parti itu untuk menyertai PAN.

Beliau mencetuskan fenomena baharu pada PRU-14, kerap mencuri ruang berita dan memberi nafas baharu terhadap kempen PAN - parti diterajui Mohamad Sabu yang biasanya hambar. 

Nik Omar adalah anak lelaki pertama Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan yang amat dihormati.

"Beliau (Nik Omar) tidak yakin dengan kepemimpinan sedia ada dalam PAS," kata seorang pemerhati Kelantan.

"Masyarakat bukan Islam juga bercakap mengenai beliau. Nik Omar boleh menjadi Jokowi versi kami."

Pertimbangan kedua ialah pengaruh pengundi Kelantan yang tinggal di luar negeri itu.

Secara purata sehingga 26 peratus pengundi Kelantan menetap atau bekerja di luar negeri itu. Mereka mungkin mencetuskan keputusan berbeza jika pulang mengundi beramai-ramai.

Sebahagian daripada mereka adalah guru. Dengan hari mengundi jatuh pada Rabu dan hanya sehari cuti umum diberi, mungkin ramai yang mengambil keputusan untuk tidak pulang.

Bagaimanapun, golongan inilah yang paling hebat cuba diyakini oleh ahli politik Kelantan untuk mendapatkan sokongan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com