BN Yakin Pertahankan Kulim-Bandar Baharu, Laksana Semua Janji


ALOR SETAR - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yakin akan terus mempertahankan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Beliau mahukan kepercayaan dan mandat dari rakyat situ agar dirinya dapat menyempurnakan kesemua Akujanji PRU yang lalu seperti yang dikehendaki rakyat situ.

Menurutnya, beliau sering ditanya pengundi mengenai isu jalan empat lorong seperti diumumkan dalam Akujanji PRU lalu kerana masih belum sempat dilaksanakan. Tetapi rakyat juga perlu lihat segala pembangunan dan pembaharuan yang telah berjaya dibawa ke situ.

“Saya akui, isu besar di sini saya diserang dengan pengundi tentang pelaksanaan jalan empat lorong yang diumumkan dalam manifesto lalu.

“Tapi saya yakin, rakyat dapat melihat pembangunan yang telah kita bawa ke sini, dan yakin rakyat tak akan hilang kepercayaan kepada kita.

“Saya juga yakin dengan komitmen kerajaan jalan empat lorong yang diumumkan itu akan kita dapat laksanakan nanti,” katanya kepada media dipetik Sinar.

Selain itu, beliau berharap agar pengundi tidak mengheret calon dengan isu nasional sebaliknya memilih mereka sebagai wakil rakyat yang akan berkhidmat di situ.

“Kalau kita hanya menceritakan isu besar tapi tak ada resolusi untuk selesai isu tempatan akhirnya rakyat tak dapat khidmat yang sepatutnya, jadi pilihlah calon yang boleh selesaikan isu setempat,” katanya.

Pada PRU13 lalu, BN Kulim-Bandar Baharu melancarkan Akujanji Pilihanraya termasuk pembangunan baru, ekonomi, kesejahteraan, pelancongan, kemudahan awam, keceriaan dalam bandar serta akses jalan raya yang menyatakan akan membina jalan raya Kulim-Bandar Baharu kepada empat lorong. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com