BN Sinari Masa Depan Masyarakat Orang Asli


ALOR GAJAH – Barisan Nasional (BN) akan terus ‘menyinari’ hidup masyarakat Orang Asli di Melaka jika parti gabungan itu terus diberikan mandat untuk mentadbir negara ini pada penggal yang akan datang.

Tok Batin Kampung Tebong Stesen, Besi Dollah berkata ini kerana masyarakat Orang Asli sentiasa mendapat tempat di hati kepimpinan parti itu dan kerajaan diterajui BN terus berusaha menaik taraf kehidupan Orang Asli agar setanding dengan masyarakat lain.

“Keselesaan yang dinikmati masyarakat Orang Asli pada hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan apatah lagi meminggirkan kami seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Tidak dinafikan ada suara nakal daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi masyarakat Orang Asli dengan menimbulkan cerita tidak baik. Namun tidak semudahnya kita akan mempercayainya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pembangunan di kampung Orang Asli pada masa kini dilihat banyak berubah bukan sahaja di Melaka, bahkan masyarakat Orang Asli di seluruh negara turut merasai manfaat pembangunan itu.

​​​​​​​Manifesto BN Melaka bagi PRU14 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 April lepas turut memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli agar mereka mendapat pendidikan dan berkemajuan.

Dianggarkan seramai 200 orang masyarakat Orang Asli menetap di Kampung Orang Asli Tebong Stesen, Machap di sini yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Alor Gajah dan kebanyakan mereka merupakan suku kaum Temuan.

Besi, 38, bapa seorang anak itu berkata, pendidikan merupakan perkara yang paling penting dititikberatkan di Kampung Tebong Stesen kerana ia mampu memberi kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat Orang Asli.

“Saya sering tekankan kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli agar beri anak-anak pendidikan, kerajaan sudah sediakan pelbagai kemudahan untuk belajar seperti tabika, sekolah rendah, sekolah menengah hingga universiti, kita hantar sahajalah (anak-anak)”, katanya.

Bagi seorang suri rumah, Munah Saleh, 62, harapan masyarakat Orang Asli di negeri ini agar nasib dan kebajikan golongan itu akan terus dibela supaya mereka dapat mengecapi kejayaan dalam pelbagai bidang selain turut bersama menikmati kemakmuran negara.

​​​​​​​“Namun kita rasa syukur kerana ada pihak yang sudi menyediakan pelbagai bantuan keperluan asas kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan ini. Usaha yang dilakukan membuktikan kerajaan sentiasa berlaku adil termasuk tidak meminggirkan kami.

“Melalui pelbagai inisiatif ini juga, sudah pasti membuatkan anak-anak perkampungan ini akan lebih bersemangat untuk belajar ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus membuka kerjaya masa depan masyarakat Orang Asli yang lebih cemerlang,” kata ibu lapan anak itu.

Seorang lagi penduduk Kampung Orang Asli Tebong Stesen, Amat Salleh, 58, berkata beliau berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak program keusahawanan kepada masyarakat berkenaan terutama melibatkan sektor pertanian.

Mencari rezeki dengan menoreh getah, Amat berkata jalan raya bertar yang disediakan di kampung tersebut sangat selesa digunakan untuknya mengangkut hasil kampung dan berurusan ke bandar berdekatan.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com