BN Mampu Rampas Kembali Pulau Pinang


ATAS kertas, tidak banyak pihak memberi reaksi positif terhadap peluang Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, negeri yang dikuasai pakatan parti diketuai DAP sejak dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ia ditambah pula dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sekutu baharu pakatan DAP-PKR-Parti Amanah Negara (PAN) yang pastinya sedikit sebanyak memberi impak dalam kalangan pengundi Melayu.

Dalam mencapai misi merampas kembali negeri pulau berkenaan, BN perlu mengekalkan undi yang diterima mereka pada PRU lalu dan berusaha memenangi sebahagian besar undi daripada kaum India.

Permainan politik di Pulau Pinang kini dilihat berbeza apabila parti komponen BN, terutama UMNO dan GERAKAN sudah banyak belajar daripada kesilapan lampau.

Gaya politik di negeri yang memiliki 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga sudah berlainan apabila rakyat mula menilai ketelusan barisan kepemimpinan kerajaan negeri diketuai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tidak dapat dinafikan, kekuatan pakatan diketuai DAP di Pulau Pinang adalah kerana sokongan lebih 50 peratus pengundi Cina terutama di kawasan pulau, namun ia dikatakan banyak berubah dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan.

Banyak kegagalan kerajaan negeri dapat disaksikan sendiri oleh penduduk apabila berlaku tragedi menyayat hati dan kejadian seperti banjir besar dan tanah runtuh.

Disebabkan itu, PRU-14 boleh dianggap peluang kepada BN, yang pastinya sudah mendapat banyak pengajaran daripada kelemahan pentadbiran negeri sedia ada, membuktikan mereka lebih layak mentadbir Pulau Pinang.

Tidak mustahil bagi BN merampas kembali Pulau Pinang berdasarkan kedudukan UMNO yang masih kukuh, malah dijangka mampu menambah beberapa lagi kerusi.

Ia berikutan pergolakan dan isu dalaman di pihak lawan seperti di Parlimen Permatang Pauh dan Nibong Tebal serta DUN Penanti, Permatang Pasir dan Sungai Bakap.

Fokus bagi BN sudah pastinya kerusi DUN di sebelah daerah Seberang Perai yang memiliki pola pengundi agak seimbang, berbanding bahagian pulau yang majoriti kawasan mempunyai bilangan pengundi Cina terlalu tinggi.

Sekiranya fokus itu mampu direalisasikan, BN mampu melakukan kejutan bagi mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14 walaupun dalam keadaan perbezaan kerusi yang tipis.

Percaturan tiga penjuru

Faktor ini juga disokong perpecahan gabungan lawannya yang menyaksikan PAS kembali meletakkan calon di kerusi tradisi mereka sebelum ini, sekali gus mencipta pertembungan tiga penjuru seperti di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

BN perlu melakar kemenangan dalam percaturan tiga penjuru paling panas di Permatang Pauh pada PRU-14, selain DUN Permatang Pasir yang dikuasai PAS sejak 20 tahun lalu.

Strategi PAS meletakkan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azmuddin untuk mengembalikan penguasaan parti itu di Permatang Pauh, kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat memberi kelebihan kepada BN.

Kali ini, PKR mencalonkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar bagi menggantikan ibunya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kerusi tradisi keluarga mereka.

Jika pengundi Permatang Pauh berpandangan terbuka dan menilai apa yang berlaku sepanjang lima tahun lalu, peluang BN merampas kerusi itu tetap ada.

Pembangunan yang dibawa BN di bawah gerak kerja Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said telah mengatasi legasi ditinggalkan Wan Azizah dan Anwar.

Pembangunan yang dilakukan UMNO Permatang Pauh bukannya bermusim, mereka tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat, mengalahkan Wan Azizah yang didakwa jarang balik kawasan.

Oleh itu, BN terutama UMNO pasti tidak akan membiarkan Parlimen Permatang Pauh yang pernah menjadi kubu kuat mereka terlepas sekali lagi kerana kemenangan di kerusi itu mampu membawa impak lebih besar di Pulau Pinang selepas PRU-14.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com