BN Lancar Manifesto ‘Moh Hebatkan Temerloh Kite’


TEMERLOH – Barisan Nasional (BN) Temerloh semalam melancarkan manifesto khas untuk kawasan Parlimen itu bertemakan ‘Moh Hebatkan Temerloh Kite’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini yang mengandungi 16 inisiatif utama.

Pengerusi BN Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata manifesto berteraskan empat kluster iaitu ekonomi, gaya hidup, pendidikan dan perumahan adalah untuk menjadikan Temerloh yang terkenal sebagai bandar titik tengah Semenanjung itu lebih maju, selesa, makmur dan perkasa.

“Semua manifesto yang kita janjikan ini adalah merupakan keperluan rakyat, hasil maklum balas yang diberikan oleh penduduk di bandar dan luar.

‘Sebagai contoh untuk kluster ekonomi, kita mempunyai sembilan inisiatif yang akan dilaksanakan, antaranya jambatan kedua Temerloh yang akan memulakan pembinaan pada penghujung tahun ini dengan kos RM180 juta termasuk Masjid Kampung Tebal yang baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika pelancaran manifesto berkenaan di Pejabat UMNO Temerloh, di Mentakab di sini, hari ini. Turut hadir calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab Datuk Wong Tat Chee dan calon BN DUN Kuala Semantan Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

Selain itu, Temerloh juga akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu apabila kerajaan akan membina stesen Laluan Rel Pantai Tumur (ECRL) di Mentakab yang pastinya akan turut memberi kesan limpahan kepada penduduk, katanya.

Katanya jika dberikan mandat, BN juga akan terus memperkasakan Temerloh sebagai kawasan eko pelancongan kebangsaan, termasuk memperkenalkan bandar itu sebagai hab ikan air tawar, dan menjenamakan semula Pekan Sehari Temerloh yang merupakan pasar pagi terpanjang di Malaysia.

“Kita juga merancang untuk membangunkan Bandar Baharu Lanchang sebagai pemangkin ekonomi di kawasan itu selain membina loji rawatan air moden bernilai RM100 juta bagi menampung keperluan 6,000 pengguna di Lanchang, Mentakab dan kawasan perumahan baharu sekitarnya.

“Sebuah persimpangan baharu juga akan dibina di Kampung Batu Kapur dari Lebuhraya Pantai Timur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas selain membina sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini untuk keperluan penduduk.

Bagi kluster gaya pula membabitkan empat inisiatif iaitu pembinaan sebuah kompleks sukan di Hulu Tualang dan menjadikan Temerloh sebagai bandar bagi aktiviti Car Boot Sale dan Pasar Karat serta Food Truck, menaik taraf Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab sebagai Mentakab Walk dan menambah tiga pusat dialisis dengan peruntukan RM3 juta.

Mohd Sharkar berkata, untuk kluster pendidikan pula dua inisiatif akan dilaksanakan iaitu membina sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang mampu menempatkan 5,000 hingga 6,000 pelajar dan memperkasakan lagi pusat tahfiz di kawasan Parlimen berkenaan.

Bagi inisiatif perumahan pula, BN Temerloh juga akan membina 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Semantan dan Mentakab termasuk 500 unit yang telah siap di Kampung Bongsu dengan 100 unit akan khususkan untuk masyarakat India. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com