BN Komited Terus Martabatkan Islam


KUALA TERENGGANU - Kerajaan memperuntukkan RM60 juta untuk membaik pulih pusat tahfiz yang daif di seluruh negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan serius berkaitan agenda untuk memartabatkan syiar Islam.

"Kita banyak buat agenda untuk Islam... kita nak lahirkan seramai 125,000 hufaz dalam masa lima tahun.

"Semalam, saya bincang dengan Naib Canselor UiTM (Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said), tahun ini UiTM menerima 500 pelajar dari tahfiz di seluruh negara sebagai permulaan.

"Selama ini tahfiz terbiar agaknya... kita sudah adakan Dasar Tahfiz Negara buat kali pertama dan baru-baru ini kita keluar peruntukan RM60 juta untuk baik pulih tahfiz yang daif di seluruh negara," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu di Paya Bunga Square di sini, Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan calon Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Najib berkata, kerajaan juga akan membina universiti al-Quran tidak lama lagi.

"Ini sebagai usaha kita untuk memartabatkan agama Islam," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com