BN Akan Jadi Pembangkang Berwibawa – Mohamad


SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) tidak akan melemparkan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebaliknya akan menjadi pembangkang yang berwibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini bagi memastikan rakyat terus mendapat kebaikan daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran baharu kerajaan negeri.

Justeru, katanya, mereka akan menjadi pembangkang yang cekap untuk semak dan imbang demi kepentingan dan kebaikan rakyat di negeri itu.

”…itulah fungsi saya dan boleh jadi saya jadi Ketua Pembangkang dalam DUN Negeri Sembilan (tetapi) itu terpulang kepada rakan-rakan dalam BN,” kata bekas menteri besar itu dalam sidang media khas, di sini semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, PH membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 20 kerusi daripada 36 kerusi DUN manakala BN memperoleh 16 kerusi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas kemenangan PH dan pelantikannya semula sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, berkata parti berusia 72 tahun itu memerlukan pembaharuan bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu.

“Kita akan membina semula UMNO dan BN…jangan patah semangat supaya hasrat untuk kita berjuang dan hasrat untuk kita berbakti kepada masyarakat akan dapat kita hidupkan kembali.

“Walaupun saya jatuh, tapi saya belum lagi tersingkir kerana kita bukan berjuang atas kepentingan peribadi tapi kita nak pastikan yang dapat manfaat adalah rakyat,” katanya.

Mohamad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau selama empat penggal sejak 2004, secara peribadinya berpandangan bahawa formula agihan kerusi yang diamalkan dalam BN selama ini tidak lagi sesuai diguna pakai.

“Kita sepatutnya mengkaji sistem agihan kerusi kerana banyak orang tak kerja tetapi bila nak pilihan raya mereka menuntut itu kerusi dia… setelah kalah (PRU) 2008, 2013, tak buat apa pun, tetapi tiga empat bulan nak pilihan raya barulah muncul ‘pelakon-pelakon’ kata ini kerusi dia,” katanya.

Mengulas mengenai terdapat anggota UMNO yang mula berpaling tadah, Mohamad, yang menyifatkan mereka sebagai ‘tikus’, berkata ia adalah baik kepada parti yang sekali gus dapat dibersihkan daripada anggota yang tidak setia.

“Ini adalah proses pembersihan dalaman UMNO. Walaupun kita akan hilang banyak ahli tapi biarlah yang tinggal itu yang padu bersama yang semangat (untuk) membina semula parti atas asas perjuangan… kita bina semula, bangkit semula atas keruntuhan yang kita alami sekarang,” katanya.

Selain Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamad juga tidak terlepas daripada desakan beberapa Ketua UMNO Bahagian di negeri ini supaya beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan UMNO negeri.

Mohamad berkata: ”Dia kena tanya diri sendirilah, tempat dia diuruskan ke tidak…apa kena mengena saya dengan bahagian…saya cuma pegawai perhubungan sahaja (dan) yang menguruskan bahagian adalah mereka. Merekalah yang perlu berasa malu dan patut letak jawatan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com