Bendera Parti Diturunkan Jika Tidak Ikut Arahan


ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak melanggar peraturan ketika berkempen terutamanya melibatkan pemasangan bendera di sekitar jalan raya.

Hal ini berikutan dari perang bendera  yang berlaku sejak beberapa minggu lalu menjadi semakin hangat apabila memasuki fasa minggu berkempen.

Menurut Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad berkata, pihak Majlis Daerah Pendang (MDP) telah menurunkan bendera dari pelbagai parti yang mengganggu laluan dan juga membahayakan keselamatan pengguna.

Jelasnya, MDP akan mengambil tindakan tegas termasuk menurunkan bahan berkempen di kawasan berisiko tanpa mengira parti politik yang terlibat.

“MDP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana parti politik yang ingkar dan tidak mengikut peraturan berkempen sepanjang tempoh PRU14 .

"Ini kerana ia melibatkan isu keselamatan orang awam,” tegasnya.

Tambah Zaid, antara kawasan larangan untuk memasang bendera dan bahan kempen ialah di sekitar jambatan dan persimpangan lampu isyarat.

Hal ini boleh menjejaskan pandangan pengguna jalan raya dan mengundang bahaya.

“Pihak penguatkuasaan MDP mendapati terdapat beberapa kawasan yang rancak dipenuhi dengan bendera parti bertanding terutamanya di kawasan simpang empat Pendang by-pass, persimpangan plaza tol keluar ke pekan Pendang dan persimpangan ke Sungai Tiang.

“Tindakan segera telah diambil dengan menurunkan bendera yang terlibat setelah mendapat rungutan daripada pengguna jalan raya yang mengeluh kerana pandangan mereka terhad setiap kali ingin keluar dari simpang ke jalan utama,”  katanya memetik Sinar Online.

Selain itu, jika berlaku sebarang kacau ganggu yang berpunca dari bendera parti yang dipasang di kawasan berkenaan, tindakan undang-undang dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan mengikut akta dan undang-undang kecil yang diguna pakai MDP.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com