Bekas Ketua Hakim Persoal Prinsip Pengampunan Anwar



Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan prinsip dan asas diguna pakai bagi membolehkan Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hamid berkata, hal ini kerana Anwar disabitkan de­ngan satu kesalahan jenayah dan kini mahu diampunkan semata-mata bagi membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya kecil dan menjadi ahli Parlimen.

Soalnya, adakah itu satu alasan yang mencukupi dan berpatutan bagi membolehkan Lembaga Pengampunan membe­ri pengampunan.

“Jika jawapannya ya, maka jika selepas itu ada pula seorang banduan lain yang meminta diberikan pengampunan untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi ahli Parlimen. Adakah atas asas sama dia juga akan diampunkan? Jika tidak mengapa?

“Satu misalan lagi, jika seorang ahli Parlimen disabitkan kerana kesalahan jenayah, adakah dia akan diampunkan supaya boleh terus menjadi ahli Parlimen? Jika seorang (banduan) yang hendak bertanding diampun, dia (ahli Parlimen disabitkan kerana kesalahan jenayah) ten­tu lebih layak diampun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menegaskan, beliau tidak mempersoalkan sama ada Anwar patut diampunkan ataupun tidak sebaliknya hanya menyoal tentang asasnya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan Ahli Lembaga Pengampunan supaya memikirkan tentang aspek tersebut dan setiap jawapan perlu konsisten bagi mengelakkan daripada berlakunya ketidaktelusan.

“Perlu diperingatkan terlebih dahulu bahawa dalam tahun 2004, sayalah yang menulis alasan penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar daripada sabitan kes liwat pertamanya.

“Itu saya lakukan semata-mata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang ber­kenaan,” katanya.

Sumber : Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com