Bekalan Keperluan Aidilfitri Dijamin Mencukupi


PUTRAJAYA – Bekalan barangan keperluan seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan sehingga Aidilfitri ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas, Tani Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata selain bekalan mencukupi, harga barangan tersebut juga dijamin stabil sepanjang Ramadan sehingga menjelang Hari Raya.

“Sekatan eksport sudah pun dilaksanakan sejak 1 Mei bagi menjamin barangan keperluan dalam negara mencukupi pada musim Aidilfitri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Ambang Ramadan Putrajaya di sini kelmarin.

Antara barangan ditawarkan dengan potongan harga di Pasar Tani Ambang Ramadan itu, ialah bawang merah besar, cili merah segar, bawang putih, bawang besar Holland, tembikai dan kubis bulat.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam kenyataannya menjelaskan Pasar Tani Ambang Ramadan berlangsung dari 12 Mei sehingga hari ini, di 290 lokasi terpilih seluruh negara.

Pasar Tani Ambang Ramadan menawarkan pelbagai keperluan dengan penjimatan antara lima dan 20 peratus.

“Mulai 1 Ramadan, 724 lokasi pasar tani seluruh negara akan terlibat dalam pasar tani Ramadan yang menawarkan jualan barangan keperluan Hari Raya.

“Pasar tani Ramadan dijangka semakin rancak pada minggu akhir Ramadan dengan jualan kuih raya dan pelbagai kelengkapan Aidilfitri yang lain pada harga berpatutan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com