Bekalan Barangan Puasa, Raya Mencukupi


PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri adalah mencukupi.

Menterinya, Salahuddin Ayub, berkata harga jualan di pasar khususnya pasar tani sepatutnya berpatutan walaupun berlaku peningkatan permintaan sepanjang musim perayaan.

Katanya, kementerian mengambil langkah proaktif bagi menjamin bekalan barangan

keperluan mencukupi, termasuk meningkatkan pengeluaran tempatan, menambah kuota import bagi beberapa makanan terpilih serta melaksanakan sekatan eksport ikan.

"Bagi menjamin bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi, persediaan menghadapi musim perayaan dibuat sejak tiga bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagi tempoh sebulan musim perayaan sempena Ramadan dan Aidilfitri, katanya, anggaran jumlah pengeluaran makanan utama seperti daging lembu (tempatan dan import) adalah 49,733 tan, ayam (tempatan) (351,046 tan) dan telur ayam sebanyak 2.8 bilion biji.

Turut tersenarai, katanya, kubis bulat 15,000 tan dan ikan (pelbagai spesies) mencecah 108,500 tan.

Salahuddin berkata, jika berlaku bekalan tidak mencukupi dan mengesan peningkatan harga, pengguna dinasihatkan membuat laporan kepada kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan kerjasama KPDNKK bagi memastikan tiada unsur pencatutan dan peniaga meletak tanda harga pada barang jualan.

"Sebagai rujukan, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi MyHarga Tani dan Go Pasar Tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Price Catcher oleh KPDNKK bagi mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan harga," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com