'Bebola Daging Swedish' Bukan Asal Dari Sweden


JUADAH popular ‘bebola daging Swedish’ seperti yang diperkenalkan di negara ini oleh syarikat perabot IKEA, bukan berasal dari resipi asli Sweden.

Akaun Twitter rasmi negara Sweden pada Sabtu mendedahkan bahawa juadah berkenaan asalnya diambil dari Turki oleh raja mereka, Raja Charles XII, pada kurun ke-18.

Raja Charles XII memerintah Sweden dari tahun 1697 hingga 1718, dan dipercayai telah tinggal di kota Bender, Moldova, yang merupakan sebahagian daripada empayar Uthmaniyyah.

Dalam masakan tradisional Turki, bebola daging dikenali sebagai kofte, dan berbeza-beza dari segi bentuk, saiz dan rasa.

Kofte juga datang dengan beberapa variasi seperti kentang dan vegetarian.

Sebaliknya, variasi Sweden yang dijual di IKEA dibuat daripada daging lembu dan dihidangkan dengan kuah yang diperbuat dari stok daging lembu.

Ia juga dihidangkan dengan kentang rebus dan jem lingonberry, yang dibuat dari sejenis buah berry yang banyak terdapat di Sweden.

Tweet itu mencetuskan maklum balas positif daripada beberapa pengguna Turki, yang memuji 'kejujuran' pengakuan tersebut.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com