BDB Komited Teruskan Membantu Golongan Asnaf Seluruh Kedah


ALOR SETAR - Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) komited menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan zakat kepada 25 golongan asnaf dari seluruh Kedah, kelmarin. 

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed berkata, kesemua golongan asnaf tersebut terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan, anak yatim, ibu tunggal, warga emas serta mereka yang mengidap penyakit kronik.

Katanya, Kumpulan BDB memperuntukkan RM44,475 wang zakat perniagaan yang dikembalikan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan kesemua mereka menerima wang tunai RM 1,779 setiap seorang.

“Bagi tujuan berkenaan, kami terlebih dahulu mengenalpasti golongan asnaf yang boleh dibantu menerusi laporan di akhbar tempatan.

“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dalam usaha mencari mereka yang memerlukan sumbangan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, untuk rekod, Kumpulan BDB memperuntukkan wang zakat perniagaan kepada golongan asnaf semenjak tiga tahun dahulu berjumlah RM212,500 (2014). RM296,250 (2016) dan RM477,375 (2017).

“Kami di sini turut menyeru orang ramai dan pemimpin masyarakat agar bekerjasama dengan BDB dalam usaha mencari dan membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“BDB sebagai syarikat milik Kerajaan Kedah meletakkan CSR sebagai salah satu asas penting syarikat dalam usaha membantu serta meringankan beban rakyat menerusi program yang dirancang sepanjang tahun.

“Oleh itu, saya mengharapkan orang ramai dan juga rakan-rakan media dapat mengetengahkan lebih ramai mereka yang kurang berkemampuan bagi membolehkan Kumpulan BDB menghulurkan bantuan,” katanya.

Sajahan berkata, upacara penyampaian sumbangan pada hari berkenaan disempurnakan Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Paduka Rasli Basir di Menara BDB, di sini.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com