Bayaran Khas RM400 Untuk Penjawat Awam Gred 41 Ke Bawah Pada 6 Jun


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pemberian bayaran khas RM400 untuk penjawat awam bagi gred 41 dan ke bawah manakala RM200 untuk pesara kerajaan.

"6 Jun (akan dibayar)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet kedua di Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam sidang media itu Dr Mahathir turut mengumumkan bantuan sara hidup rakyat bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan pentadbiran terdahulu.

"Memang berbeza, memang berbeza," katanya apabila ditanya mengenai perbezaan antara bantuan sara hidup yang akan diperkenalkan dan BR1M.

Dr Mahathir turut mengumumkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan pada September tahun ini dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mulai 1 Jun pula, GST berkadar sifar akan dikuatkuasakan, katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pada Bajet 2018  Oktober tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bayaran khas RM1,500 yang dibuat melalui dua bayaran.

Bayaran itu diberikan dua kali, iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2018.

Sementara kepada pesara kerajaan, bayaran khas sebanyak RM750, iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com