Bank Makanan Akan Diperkenalkan Di Parlimen Kulim-Bandar Baharu


KULIM - Program Bank Makanan akan diperkenalkan di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu selepas kejayaan Bank Makanan Mutiara yang dilaksanakan di Pulau Pinang sejak Mei tahun lepas.

Anggota Parlimennya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bank Makanan merupakan program yang dilaksanakan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan dengan memberikan mereka makanan.

Katanya sejak dilancarkan, ia telah membantu lebih 15,000 orang di Pulau Pinang.

"Saya ingin meluaskan program tersebut di Parlimen saya. Ini adalah inisiatif terbaik untuk membantu golongan tidak bernasib baik dengan memberi mereka makanan," katanya selepas menghadiri taklimat dan melawat kawasan banjir di sekitar Bandar Baharu, dekat sini semalam.

Lebih 200 penduduk dari Kampung Teluk Sera, Kampung Teluk Kelian dan Kampung Paya Salak di Bandar Baharu dekat sini terjejas dengan banjir kilat apabila air Sungai Teluk Kelian melimpah selepas hujan lebat antara 4 petang hingga 6 petang Jumaat lepas.

Bagaimanapun, kini keadaan banjir itu sudah pulih sepenuhnya.

Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, program itu secara dasarnya digerakkan dengan mengumpul makanan tidak terjual daripada penderma dan menyerahkan kepada mereka yang memerlukan mengikut giliran yang ditetapkan.

Beliau yang juga Peneraju Bank Makanan Mutiara berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak hotel dan restoran malah pasar raya yang terdapat di daerah ini untuk mengumpulkan serta mengagihkan makanan itu nanti.

"Kalau sehari mereka ini berbelanja antara RM15 untuk membeli makanan di pasar malam, dengan pemberian ini kita sudah mampu menjimatkan poket mereka melalui Bank Makanan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com