Azwan Ali Tidak Kecewa, Sudah Jangka Kalah


HULU KLANG - Meskipun tewas dan sudah berhabis sebanyak RM20,000, calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Azwan Ali, 52, tidak kecewa atau terkejut kerana kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu sudah dijangka.

Katanya, dia sedar bukanlah ahli politik dan dalam sekelip mata mahu menawan hati pengundi Bukit Antarabangsa yang diakuinya adalah perkara mustahil.

"Lebih afdal saya tidur saja. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menghubungi saya minta datang ke tempat pengiraan undi tetapi saya beritahu takkan hadir kerana saya seorang saja dan tiada jentera penyokong.

"Saya bukan orang politik dan siapapun yang menang terpaksalah terima kerana itu kehendak rakyat.

"Saya tahu jika kalah akan hilang wang pertaruhan dan saya sudah niat sedekahkan kepada SPR. Tetapi perjuangan saya menentang Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tetap menjadi satu sejarah dan pengalaman yang cukup menarik serta pencapaian yang membanggakan saya.

"Sejak awal saya tahu, saya adalah calon yang menang sorak tetapi orang melihat keunikan saya. Kalau saya nak bertanding, saya buat dan tidak 'propa' sehingga sanggup menggunakan wang sendiri tanpa adanya penaja walau difitnah pihak Azmin kononnya saya dapat dana daripada kerajaan," katanya.

Azwan berkata, walaupun hilang wang pertaruhan, tiada sebab untuk dijadikan isu kerana ia adalah duitnya sendiri hasil daripada kerjaya seni.

"Jika saya bertanding bukan di kawasan Azmin, mungkin akan dapat undi lebih besar. Apapun ini pengalaman pertama dan syukur dengan apa yang saya dapat.

"Saya tak luak apa-apa meskipun dikecam dan jika 'followers' semak status di Facebook, saya sudah tutup persoalan mengenai PRU-14. Saya tak mahu cakap lagi," katanya yang memperolehi 90 undi sahaja.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com