Azraai Bingung Alasan Dipecat Negeri Sembilan


KUALA LUMPUR - Azraai Khor Abdullah menerima keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menamatkan kontraknya dengan hati terbuka namun terkilan kerana tidak diberi peluang untuk meningkatkan prestasi pasukan itu mengikut acuannya.

Malah, Azraai yang ditamatkan kontrak serta-merta Khamis lalu dan digantikan oleh jurulatih dari Portugal, Mario Lemos juga sukar menerima alasan penggugurannya.

"Melantik atau memecat saya hak mereka. Sebagai jurulatih, saya akur dan terima dengan hati terbuka. Ini memang adat dalam bola sepak.

"Namun, sukar untuk menerima alasan PBNS menggugurkan saya kerana prestasi pasukan. Saya beranggapan tidak adil untuk mereka menilai saya hanya selepas lima perlawanan.

"Apatah lagi pemain yang ada terutama pemain import bukan saya pilih. Saya sudah lakukan yang terbaik," kata Azraai.

Sepanjang mengendalikan pasukan itu sejak Mac lalu, Negeri Sembilan gagal menang sebaliknya hanya mencatat dua keputusan seri daripada lima perlawanan dengan rekod terburuk dibelasah 4-0 oleh Johor Darul Ta'zim hujung minggu lalu.

Skuad Hobin Jang Hobin kini menduduki tangga tercorot dengan hanya lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri daripada sembilan perlawanan Liga Super.

Azraai berkata, beliau bercadang menukar pemain import ketika jendela perpindahan kedua yang bermula Isnin lalu malah sudah dipersetujui oleh pengurusan.

"Pemain import sekarang memang tidak bagus dan perlu digantikan. Saya yakin jika mendapat import berkualiti, prestasi Negeri Sembilan akan meningkat.

"Pengurusan pun mengakuinya serta bersetuju malah saya sudah memulakan langkah untuk mendapatkan import baru. Tiba-tiba Khamis lalu saya dapat surat ditamatkan kontrak.

"Saya tidak terkilan digugurkan jika masih gagal memulihkan prestasi pasukan selepas diberi peluang membuat rombakan. Tapi, apa pun saya hormati keputusan mereka," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com