Azmin Kekal MB Sehingga Proses Lantikan Baharu Dibuat - Sultan Selangor


KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah bersetuju Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima jawatan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah portfolio Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Kenyataan Istana Selangor menyebut Mohamed Azmin membuat keputusan tersebut setelah mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri tentang skop kerja dan bidang kuasa Kementerian yang baharu.

"Mengambil kira perkembangan tersebut, Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk Azmin memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

"Sementara itu, Azmin akan memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada Menteri Besar Selangor yang baharu dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.


"Dalam masa yang sama, Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon Menteri Besar Selangor yang baharu untuk penelitian dan perkenan Sultan Selangor sebelum lantikan Menteri Besar tersebut dilaksanakan," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Azmin akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor sebaik Sultan Selangor berkenan melantik Menteri Besar yang baharu.

"Proses yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan Perlembagaan Persekutuan," jelas kenyataan itu.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com