Azeez Pertahan Baling, Jamil Khir Tewas Di Jerai


ALOR SETAR - Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Baling manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tewas mengejut di Parlimen Jerai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Abdul Azeez dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassan Saad dan calon PKR, Mohd Taufik Yaacob, dengan majoriti 1,074 undi selepas memperoleh 38,557 undi.

Selain itu, BN turut kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan DUN Bayu kepada Pas yang mengekalkan kerusi DUN Kuala Ketil di bawah Parlimen Baling.

Sementara itu, Jamil Khir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerai apabila tewas kepada calon muka baharu dari PAS, Sabri Azit, yang mempunyai talian persaudaraan dengan beliau.

Memetik laporan BH Online, Sabri menang dengan majoriti 539 undi selepas memperoleh 22,312 undi, manakala Jamil Khir mendapat 21,773 undi, calon PKR dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Akhramsyah Sanusi Junid, meraih 21,651 undi.

PAS turut mengekalkan DUN Sungai Limau selepas Mohd Azam Abd Samat mempertahankan kerusi tradisi PAS itu untuk penggal kedua.

Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail dari BN berjaya mempertahankan kerusi Guar Chempedak tetapi BN kehilangan kerusi DUN Gurun kepada calon PKR, Datuk Johari Abdul. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com