ATM Rampas 310kg Ketum Cuba Diseludup Ke Thailand


PADANG TERAP - Cubaan tiga lelaki menyeludup 310 kilogram (kg) daun ketum dengan motosikal ke negara jiran, gagal apabila kegiatan itu dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos Sahara, Durian Burung di sini, Sabtu.

Tiga lelaki terbabit membawa guni dan bungkusan kain pelikat mengandungi daun ketum di belakang motosikal masing-masing sebelum mereka lari bertempiaran ke kawasan semak akibat terjatuh dari kenderaan itu apabila terserempak dengan anggota pasukan keselamatan yang melakukan rondaan di situ.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail, berkata susulan kejadian pada jam 12.35 tengah hari itu, sebanyak 310kg daun ketum dianggarkan bernilai RM28,000 berjaya dirampas pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD).

Katanya, ketika rondaan yang diketuai Koperal Zulkifli Mohammad itu, pasukan keselamatan berkenaan bertembung dengan lima motosikal yang ditunggangi lima lelaki dipercayai warga tempatan.

"Akibat terkejut dengan kehadiran anggota tentera mereka bertindak memecut kenderaan, namun tiga daripada mereka hilang kawalan sehingga terjatuh. Tiga lelaki yang menunggang motosikal itu terus lari ke dalam semak meninggalkan motosikal mereka.

"Pemeriksaan pada motosikal berkenaan membolehkan penemuan empat bungkusan kain pelikat dan tiga guni putih mengandungi daun ketum yang diikat sebanyak 800 ikatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya, daun ketum itu akan dihantar ke kawasan pagar berdekatan sempadan sebelum ada pihak lain yang mengambilnya.

"Permintaan yang tinggi di negara jiran, selain harganya yang lebih tinggi menyebabkan kes penyeludupan daun ketum semakin menjadi-jadi, akhir-akhir ini.

"Kesemua daun ketum serta tiga motosikal jenis Honda Wave yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com