ARMADA PPBM Tolak Tuntutan HINDRAF 2.0


KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak sekeras-sekerasnya tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) supaya kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum.

EXCO ARMADA (Pendidikan), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata HINDRAF 2.0 tidak wajar menyentuh isu yang mampu membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Beliau berkata, jika mereka ikhlas untuk membina negara bangsa, wajib dimulakan dengan menutup sekolah pelbagai aliran yang mungkin dapat memberi perubahan kepada demografi di UiTM kelak.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tuntutan itu kerana menyentuh hak dan kepentingan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

"Negara kini menuju ke arah Malaysia Baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan dengan teras utamanya adalah integrasi nasional, menuju asimilasi setiap kaum dalam suasana rukun dan harmoni.

"Pun begitu, isu terkait UiTM adalah hak eksekutif yang terlalu awal dibincangkan atau dituntut khususnya oleh HINDRAF," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, pihaknya berpendapat belum masanya UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera kerana ia satu-satunya institusi ditubuhkan untuk memberi pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan Bumiputera secara eksklusif.

Beliau berkata, pihaknya senada dengan Biro Jalur Pribumi ARMADA PPBM menolak tuntutan HINDRAF 2.0 melalui Ketua Umumnya, P Uthayakumar semalam yang tidak releven dalam keadaan semasa.

"Perkara terkait dengan UiTM adalah sesuatu yang tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak kerana ia dinaungi Perlembagaan iaitu teras negara khususnya melalui artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan Orang Melayu," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, HINDRAF atau mana-mana pihak yang terus mempersoalkan perkara itu perlu memperhalusi asas Rukun Negara yang menjadi nadi Perlembagaan dan memahami konsep Melayu sebagai tiang seri dalam membina negara.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf Mustaqim mengingatkan orang Melayu supaya tidak bersikap sambil lewa dan bermalasan atas keistimewaan diberikan dan bersedia dikritik kerana bangsa itu jauh ketinggalan dalam banyak perkara.

"Jangan akhirnya tiang seri yang sepatutnya memakmurkan pelbagai kaum di Malaysia ini akhirnya rosak dimakan anai-anai disebabkan sikap orang Melayu itu sendiri," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com