Apa Nasib 4 Kementerian Ini, Penjawat Awam Dikurang?


PADA Isnin ini, lebih 1.4 juta penjawat awam Persekutuan bakal bertugas lagi seperti biasa selepas ‘seronok’ bercuti panjang susulan kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya!

Namun dalam keterujaan ditadbir semula Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lakar sejarah sekali lagi jadi perdana menteri dan diiktiraf ketua kerajaan dengan usia tertua di dunia, ramai antara mereka mula mencongak nasib diri.

Ia bukan sahaja dalam kalangan kakitangan awam pro-Barisan Nasional (BN), bahkan penyokong tegar PH yang selama ini ibarat musang berbulu ayam bebas kutuk pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini bukanlah luar biasa apabila netizen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lagi sering digemparkan dengan status akaun media sosial oleh penjawat awam terbabit aktif bangga dapat hina kerajaan BN dan memuji hebat PH.

Hari ini debaran itu bertambang ‘kencang’ apabila Mahathir, 92, mengumumkan tiga tokoh PH masing-masing daripada DAP, PPBM dan PAN untuk menerajui pula Kementerian Kewangan, Dalam Negeri selain Pertahanan.

Paling mengejutkan banyak pihak ialah pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ‘pecah’ monopoli Melayu setelah 44 tahun lalu pernah diterajui dua presiden MCA iaitu Tun Henry Lee Hau Shik dan Tun Tan Siew Sin.

Lebih menggemparkan ialah Presiden PAN, Mohamad Sabu yang juga mesra disapa sebagai Mat Sabu menerajui portfolio pertahanan sekali gus mencetuskan kegelisahan berhubung hala tuju kementerian tersebut selepas ini.

Bagaimanapun pelantikan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri disambut positif melihatkan kepada prestasi beliau ketika dalam BN yang pernah mengetuai pelbagai kementerian strategik.

Tetapi kini timbul tanda tanya mengenai siapakah bakal mengisi Kementerian Pendidikan; Pembangunan Luar Bandar; Ekonomi; Kerja Raya; Pengangkutan; Multimedia, Sains and Teknologi serta tidak ketinggalan Luar Negeri.

Mahathir pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya, Selangor hari ini sebaliknya mendakwa tujuh jawatan terbabit hanya akan dapat diisi dalam masa terdekat tanpa memberikan tempoh masa yang muktamad.

“Saya meminta daripada setiap parti dalam komponen PH untuk mencadangkan tiga nama calon mereka kepada saya bagi diberi pertimbangan untuk jawatan menteri sebagai anggota jemaah Kabinet Persekutuan.

“Kita tidak mahu barisan Kabinet yang terdiri daripada satu bangsa sahaja, selain mempunyai wakil daripada keempat-empat parti gabungan,” dalih perdana menteri merujuk kepada komponen PPBM, PKR, DAP dan PAN.

Portal Astro Awani dalam pada itu melaporkan sumber rapat blok tersebut bahawa sepuluh ahli jemaah Kabinet baharu bakal mengguna pakai formula 3-3-2-2 iaitu pembahagian portfolio dalam kalangan empat parti komponen.

Kononnya DAP dan PKR masing-masing dijangka mendapat tiga portfolio, manakala PAN dan PPBM yang masing-masing dianggap serpihan daripada PAS dan UMNO serta bertaraf junior pula cuma akan diberikan dua portfolio.

Itu cerita Kabinet, namun lebih mendebarkan penjawat awam bagaimana pula nasib lebih sedozen kementerian lain era Najib dan tidak disebut oleh Mahathir termasuk empat portfolio dianggap penting kepada nadi rakyat Malaysia.

Antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Umum maklum, KKM yang menggaji puluhan ribu doktor, jururawat dan pelbagai staf berkaitan amat ‘dicemburui’ PH kerana hanya mengecaj minimum RM1 untuk pesakit luar selain caj rendah untuk beraneka rawatan mahal lain.

Ini jelas bertentangan dengan Manifesto PH pernah mendakwa rakyat marhaen konon akan diberi kad peduli sihat sebagai mana di Selangor sejak 2013 demi ‘memakmurkan’ klinik swasta yang dikatakan cenderung blok tersebut.

Juga bagaimana pula program pembangunan atlet sukan negara apabila KBS ‘ghaib’ dalam senarai Mahathir, lebih-lebih lagi menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, Sukan SEA 2019 di Filipina dan Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

Apakah nasib mereka akan menjadi seperti Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang terpaksa ‘merempat’ ihsan simpati stadium luar apabila jelas dinafikan hak tradisi Stadium Shah Alam hanya kerana kepimpinannya pro-BN.

Serta macam mana dengan pelbagai projek perumahan awam untuk rakyat miskin dan kakitangan kerajaan setelah KPKT tiada dalam ‘radar’ senarai kementerian diwujudkan Mahathir disebabkan para penghuninya penyokong BN.

Malah nasib KPDNKK (pernah diterajui Muhyiddin) yang cukup terkenal amat ‘dibenci’ peniaga pro-PH dek tegas dalam isu harga barangan selain pelaksanaan GST sejak 2015 menggantikan SST, kerana mudah tiris dimanipulasi.

Tidak ketinggalan agensi khas di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sementelahan Manifesto PH langsung tidak sebut sebarang usaha untuk memartabat syiar agama Persekutuan itu.

Dan lebih membimbangkan penjawat awam serta Cuepacs, bagaimana pula nasib mereka selepas ini kerana semua maklum hasrat PH pernah mahu kurang separuh jumlahnya terutama petugas Melayu yang dianggap berlebihan?

Setakat ini, Mahathir tidak pula menjelaskan dengan lebih terperinci, tetapi cara pengumuman beliau ternyata sudah beri gambaran awal bagaimana bentuk corak pentadbiran PH terhadap masa depan negara ini. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com