Apa Motif Kau Pancit Tayar Kereta Aku?


KELIBAT lelaki ‘gatal tangan’ mencucuk tayar kereta dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir depan premis di Saujana Utama Puncak Alam, Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Rakaman berdurasi lebih seminit itu memaparkan lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai menggunakan alatan tajam melakukan khianat dengan membocorkan tayar kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.

Video tindakan khianat lelaki terbabit kemudian tular di media sosial.

Berdasarkan komen individu yang memuat naik video berkenaan di media sosial, dia mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati jika meletakkan kenderaan di situ selain meminta mangsa membuat laporan polis selain memaklumkan rakannya turut menjadi mangsa.

Katanya, pada hari kejadian, enam kenderaan sudah dibocorkan tayar termasuk Perodua Myvi, Viva dan Kancil serta Nissan.

Individu berkenaan turut mendakwa mengenali lelaki melakukan perbuatan itu yang juga peniaga aksesori kenderaan di kawasan berhampiran.

“Tidak tahu apa motif dia tapi kami kenal sangat lelaki itu,” katanya.

Dalam pada itu, perbualan beberapa individu dipercayai pekerja premis di depan parkir berkenaan turut kedengaran dalam rakaman video itu menceritakan mengenai tindakan lelaki terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu ketika dihubungi, di sini, semalam, memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan sudah menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com