Anwar Sampaikan Keresahan Pimpinan PKR Kepada Dr Mahathir


KUALA LUMPUR - Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau sudah menyampaikan keresahan pimpinan PKR berhubung rundingan pemilihan menteri Kabinet kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pandangannya itu disambut baik Perdana Menteri.

"Saya sudah sampaikan keresahan pimpinan (PKR) yang memohon supaya kaedah rundingan lebih merangkumi.

"Pandangan berkenaan disambut baik oleh Dr Mahathir, namun harus diputuskan bersama oleh Majlis Presiden PH," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang kini masih dirawat di Wad Pusat Rehabilitasi Cheras di sini, turut mengulangi sokongannya kepada Dr Mahathir.

Anwar berkata, beliau juga sudah menyampaikan pandangannya kepada pimpinan PKR untuk memastikan kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan Timbalannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang.

"Saya menggesa rakan seperjuangan yang sudah menerima mandat rakyat untuk segera menjalankan tugas menyelamatkan dan membina semula negara kita," katanya.

Tanpa memperincikan maksud kenyataan ini, namun ia dipercayai berkaitan dengan reaksi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam yang mempersoal berkenaan pembabitan PKR dalam proses rundingan pemilihan menteri Kabinet.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com