Amirudin Ganti Azmin Di Selangor?


SHAH ALAM - Nama Adun Sungai Tua, Amirudin Shari antara yang disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu jika jawatan itu dikosongkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, itu antara dua nama yang disebut bakal menggantikan Mohamed Azmin sekiranya Ahli Parlimen Gombak itu disahkan menyertai jemaah menteri Isnin ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Amirudin dilihat calon paling layak berdasarkan pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang menyandang jawatan Exco bagi penggal kedua.

Beliau berpendapat, calon Menteri Besar Selangor perlulah disandang dalam kalangan paling senior.

“Pilihan lain mungkin seorang lagi Exco kerajaan negeri, Dr Shaharuddin Badaruddin.

“Adun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei juga antara nama yang disebut-sebut namun tidak pasti mengapa namanya tidak disenaraikan sebagai Exco pada penggal kali ini," katanya.

Ditanya keperluan jawatan menteri besar itu dibuka kepada parti komponen lain jika dirasakan mempunyai calon berkelayakan, Azizuddin berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan namun bergantung kepada persetujuan bersama antara PKR dan parti-parti lain.

Mohamed Azmin disenaraikan sebagai jemaah kabinet di bawah Menteri Hal Ehwal Ekonomi  oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahu Azmin kekal jaga Selangor

Sementara itu, Amirudin ketika dihubungi memaklumkan, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi atau menyebut nama-nama yang dirasakan sesuai meneruskan kecemerlangan Mohamed Azmin di negeri ini.

Malah beliau secara peribadi mahu kepimpinan Mohamed Azmin diteruskan untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.  

“Secara peribadi saya harap supaya beliau kekal dan terus menerajui Selangor kerana beliau telah menunjukkan kepimpinan dan pentadbiran yang baik serta pengalamannya masih diperlukan namun (kita) tidak boleh menghalang jika khidmatnya lebih diperlukan di peringkat pusat," ujar Amirudin.

Beliau turut menyifatkan pengganti Mohamed Azmin pastinya akan menggalas tanggungjawab yang cukup besar bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran sedia ada.

“Pengganti yang bakal menggantikan menteri besar mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat untuk meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir Selangor,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini pengganti Mohamed Azmin belum dibincangkan kerana pengumuman sebagai jemaah menteri itu berlaku dalam tempoh singkat dan menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan pusat untuk membuat keputusan.

Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman ketika diminta mengulas isu sama pula enggan membuat sebarang spekulasi berhubung pengganti menteri besar namun yakin Mohamed Azmin akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara Shuhaimi pula hanya menjawab "tiada komen" dan "tidak mempunyai maklumat" mengenai status perbincangan mengenainya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com