Amaran Ustaz Kazim Bahaya ‘Hilang Kuasa’ 5 Tahun Jika Percaya Pembangkang!


MUNGKIN ramai masih ingat lagi antara taktik pembangkang ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 ialah cuba dahulu lima tahun diperintah bukan oleh Barisan Nasional (BN).

Jentera mereka ketika itu menyebarkan diayah jahat dengan mendakwa kononnya tempoh mandat lima tahun itu sahaja bukannya lama dan jika tidak berpuas hati, bolehlah undi semula calon BN pada PRU yang berikutnya pula.

Propaganda halus pakatan pembangkang pada waktu itu menyebabkan BN ‘tumbang’ teruk di empat buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor selain kekal berkuasa di Kelantan untuk penggal ketiga berturut-turut.

Namun, Perak kembali ke pangkuan BN selepas 11 bulan kemudian apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang keluar parti menjadi wakil bebas dan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada pihak BN.

Malangnya, strategi ‘cuba-cuba dulu’ atau lazim disebut juga sebagai try-and-error itu mula dipopularkan pakatan pembangkang dan digunakan semula pada PRU ke-14 kononnya rakyat tidak rugi diperintah oleh parti bukan BN.


Mereka memberi contoh Kelantan yang berjaya diperintah PAS sejak PRU kesembilan pada 1990 lalu selain Pulau Pinang dan Selangor masih sama sahaja kehidupan rakyatnya selepas 10 tahun ditadbir gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, menyedari bahaya kempen licik Pakatan Harapan (PH) yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu, pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias tampil memberi amaran risiko tersebut.

Menerusi satu ceramah agama anjuran Yayasan Insaf di Tambun, Perak pada Sabtu lalu yang kini tular dalam media sosial, beliau mendedahkan cubaan jahat pihak terbabit konon berilah peluang lima tahun kepada pembangkang.

Sebagai bekas ahli seumur hidup PAS yang dipecat partinya dan mesra disapa sebagai Ustaz Kazim, beliau bercerita ada individu tertentu hasut dirinya untuk mengajak rakyat sokong pembangkang setakat tempoh sepenggal sahaja.

Namun Tokoh Maal Hijrah 2015 peringkat Perak itu ternyata amat serik dengan merujuk suasana perit umat Islam apabila negeri tersebut diperintah pembangkang hanya dalam masa 11 bulan sebelum BN tawan balik pada 2009.

“Jangan main-main dengan lima tahun, benda lain kita boleh tukar, tapi dalam bab kuasa, ia bukan benda main-main! Sebab itu pertahankan hak kita dan jangan kita buat salah… Akhirnya rugi diri kita sendiri,” tegas Kazim.

Beliau sebelum itu turut mengingatkan hadirin bahawa jika dalam lima jam pun boleh berlaku macam-macam perkara, apatah lagi lima tahun diperintah pembangkang, jangan harap PH akan mahu menjaga hak orang Islam.

Untuk rekod di Pulau Pinang, banyak perkampungan Melayu dihapuskan konon atas nama pembangunan selain penjaja Melayu diusir dari kawasan perniagaan kerana didakwa halang lalulintas dan menyebabkan pencemaran.

Manakala di Selangor, pesta arak dianjur secara terbuka selain pembinaan surau perlu dapat izin penduduk bukan Islam termasuk tiang menara untuk laungan azan dan pendakwah kutuk kerajaan negeri ‘digam’ pihak berwajib.

Silap percaturan ujar Kazim, pakatan itu akan menghapuskan apa sahaja berkaitan kepentingan umat Islam dan Melayu sebagai penduduk pribumi majoriti di tanah air kerana konon dianggap pula sebagai berbaur perkauman.

Justeru pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh itu mengulangi amaran kepada pengundi untuk tidak beri peluang kepada PH yang tidak akan berdiam diri apabila sudah berkuasa kelak. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com