Amanat Hadi Bukan Punca Tragedi Memali - PAS


KUALA LUMPUR - PAS tetap dengan pendiriannya yang amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak menjadi punca tragedi Memali seperti didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jurucakap Gagasan Sejahtera yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, mendakwa dakwaan dan tuduhan terhadap PAS mengenai perkara itu adalah biasa yang berlaku kepada parti tetapi adalah perkara tidak benar.

"Sebelum ini Dr Mahathir menuduh amanat Abdul Hadi menjadi penyebab tragedi Memali. PAS dengan ini tegas menyebut parti ini tidak pernah menjadi punca kepada tragedi itu, bahkan ia berlaku disebabkan tindakan agresif pihak keselamatan terhadap orang kampung yang tidak bersenjata.

"Oleh demikian, PAS konsisten sejak dulu lagi untuk meminta satu Suruhanjaya Diraja dibentuk supaya satu siasatan yang telus dapat dilakukan agar mereka yang bersalah diambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, semalam.

Kamaruzaman berkata, walaupun PAS menerima permohonan maaf dari Dr Mahathir berhubung isu mangsa Memali 'mati katak', parti itu turut kesal dengan kenyataan bekas pemimpin negara itu yang menuduh pula Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kenyataan itu (mati katak) menimbulkan kemarahan waris dan keluarga mangsa serta seluruh rakyat Malaysia, namun PAS kesal di sebalik permohonan maaf itu, Dr Mahathir cuba meletakkan kesalahan tragedi Memali kepada PDRM," katanya.

Dalam sidang akhbar itu, Kamaruzaman turut mengesahkan dua calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan DUN Sungai Manik, Perak akan diambil tindakan disiplin oleh parti itu.

"Tindakan itu akan diambil sendiri oleh parti terbabit kerana ia adalah membabitkan masalah dalaman.

"Saya ingin menegaskan juga, isu calon di dua kawasan ini tidak menjejaskan hubungan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera, mereka masih kekal bersama kami, dan menggunakan logo PAS" katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com